PETALING JAYA, 6 Feb — Semua pihak digesa memberi ruang kepada badan penguatkuasaan dan perundangan negara untuk melaksanakan tugas mereka dalam usaha membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa.  

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim  berkata ia bagi memastikan badan penguatkuasaan ini mampu bertindak dengan tegas dan menyempurnakan tugas mereka dengan baik sekali gus menyelamatkan negara daripada perbuatan keji itu. 

“Negara ini di ambang kerosakan kerana keterlanjuran dan rasuah sudah menjadi sebahagian daripada sistem yang tak mudah dirungkai.

Percayalah setelah beberapa bulan dalam kerajaan, saya yakin masalah ini memang rumit serta sukar dirungkai dan oleh itu pemimpin politik janganlah guna alasan agama dan alasan kaum untuk mempertikai tindakan membanteras rasuah,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Pimpinan PKR di sini hari ini. 

Anwar berkata beliau membuat seruan itu kerana melihat ada pihak yang menggunakan alasan agama yang remeh untuk mempertahankan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. 

Justeru beliau menegaskan bahawa tiada mana-mana agama yang boleh digunakan untuk mempertahankan perbuatan kotor itu termasuk Islam.

“Apa lagi Islam yang tegas menolak penyalahgunaan kuasa dan fasad dalam sistem yang berpunca daripada rasuah yang bermaharajalela dalam negara ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here