BOGOTA, 6 Feb — Colombia mendakwa pihaknya mengesan sebuah objek menceroboh wilayahnya, selepas Washington memberi amaran mengesyaki belon pengintip China sama seperti yang ditembak jatuh di luar pantai Amerika Syarikat (AS) dikesan di Amerika Latin.

Menurut Tentera Udara Colombia, objek terbabit memiliki karakter sama dengan belon yang dikesan Jumaat lalu dan pihaknya juga sedang memantau rapi objek berkenaan sehingga ia meninggalkan ruang udara negaranya.

Tentera Udara dalam kenyataan kelmarin memaklumkan, objek berkenaan dikesan terbang pada ketinggian 17,000 meter dan berkelajuan 25 knot (46 kilometer sejam (km/j).

“Ia tidak mencetuskan ancaman kepada keselamatan negara dan pertahanan atau keselamatan penerbangan,” tambahnya.

Susulan itu, Tentera Udara Colombia menegaskan pihaknya menjalankan siasatan menerusi penyelarasan dengan negara lain dan institusi untuk mengesahkan asal usul objek terbabit.

Kelmarin, jet pejuang AS menembak jatuh belon pengintip China dekat pesisir pantai Carolina Selatan sambil mengecam ia pelanggaran yang tidak boleh diterima.

Objek itu disyaki terbang selama beberapa hari di ruang udara Amerika Utara. 

Situasi itu mendorong ketegangan antara Washington dan Beijing yang menegaskan ia adalah belon cuaca.

Pentagon juga mendakwa mengesan satu lagi belon pengintip China di ruang udara Amerika Latin pada Jumaat lalu, namun tidak memberi sebarang butiran.

Tiada negara Amerika Latin lain melaporkan melihat objek itu, manakala Venezuela semalam menyelar serangan AS terhadap pesawat tanpa pemandu dari China.

Caracas di bawah sekatan AS dalam satu kenyataan menegaskan, AS sekali lagi menggunakan kekerasan bagi menangani situasi dengan serius dan tanggungjawab yang sepatutnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here