GEORGE TOWN, 7 Feb — Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah memperuntukkan sebanyak RM40 juta kepada kerajaan Pulau Pinang demi kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Menterinya Nga Kor Ming berkata Kerajaan Perpaduan amat peka terhadap keperluan dan kebajikan rakyat dan KPKT akan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Sebanyak RM24 juta akan diberikan untuk membangunkan semula Pasar Awam Bukit Mertajam yang terdiri daripada lima komponen dan RM16 juta pula adalah sebagai dana untuk penyelenggaraan rumah pangsa awam dan swasta.

“Peruntukan ini menunjukkan kami (Kerajaan Perpaduan) amat perihatin dan komited dalam membantu meningkatkan hidup rakyat,” katanya selepas lawatan seharinya di Pulau Pinang semalam.

Nga berkata mengikut rekod KPKT, tahun lepas peruntukan penyelenggaraan hanya RM9 juta namun tahun ini peruntukan itu dinaikkan kepada RM16 juta, iaitu peningkatan sebanyak 70 peratus.

Sementara itu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata beliau mengalu-alukan pengumuman peruntukan sebanyak RM40 juta itu kerana ia mencerminkan kasih sayang daripada Kerajaan Perpaduan kepada negeri ini.

“Ini satu permulaan yang baik dan saya harap ia akan membawa berkat dan kasih sayang yang lebih apabila kementerian-kementerian yang lain membuat lawatan ke Pulau Pinang selepas ini,” katanya.

Chow berkata dalam Rolling Plan Rancangan Malaysia, pihak kerajaan negeri akan sentiasa mengemukakan senarai panjang untuk pertimbangan Kerajaan Persekutuan, namun ada yang telah diluluskan dan ada masih dipertimbang.

“Sebab kita cuma berniat untuk memajukan negeri Pulau Pinang ke satu tahap lebih tinggi dan menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) negeri juga telah diarahkan untuk berhubung dengan kementerian dan menteri berkaitan untuk meneliti keperluan Pulau Pinang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here