DAMSYIK, 9 Feb – Syria mengalu-alukan sebarang bantuan yang dihulurkan oleh negara dan pertubuhan antarabangsa dengan syarat ia tidak mempunyai sebarang unsur politik, kata Penasihat Khas Presidensi Dr Bouthaina Shaaban.

Beliau berkata beberapa jam selepas gempa bumi berlaku, Syria merayu kepada negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa dan pertubuhan antarabangsa yang lain untuk menyokong usaha menangani bencana mengikut piawaian tindakan kemanusiaan yang diluluskan PBB dengan pelarasan kerajaan Syria.

“Kami menerima bantuan daripada semua negara dengan syarat ia tidak dipolitikkan,” kata Shaaban.

Agensi Berita Syria (SANA) melaporkan kenyataan Shaaban itu dalam temu bual dengan Saluran TV Sky News pada Rabu.

“Kami menerima bantuan daripada Barat dan jika Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah menawar dan menyediakan bantuan, kami menerimanya, tetapi mereka tidak menawarkan sebarang bantuan walaupun rayuan Presiden Palang Merah Antarabangsa kepada semua negara dunia untuk menyumbang,” katanya.

Beliau berkata sebilangan besar negara rakan dan rapat ada menghantar bantuan ke Syria walaupun negara Barat mendakwa penghantaran bantuan itu melanggar resolusi Majlis Keselamatan.

Sekatan ekonomi oleh Barat ke atas Syria wajar ditarik balik kerana ia menyebabkan rakyatnya menderita selain menghalang institusi negara melaksanakan peranan secara optimum dalam menghadapi kesan gempa bumi, katanya.

Media melaporkan gempa bumi berukuran 7.7 dan 7.6 pada skala Richter yang berpusat di wilayah Kahramanmaras, Turkiye turut menjejaskan Syria.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here