KUBANG PASU, 22 Feb – Seramai 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam tiga siri tangkapan oleh pasukan tentera yang berkawal di sempadan tanah air.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) memaklumkan, tangkapan pertama dibuat kira-kira pukul 6.30 pagi setelah pasukan operasi berjaya mengesan sekumpulan orang awam yang sedang cuba menceroboh pagar sempadan Malaysia dan Thailand di Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd) di Bukit Kayu Hitam.

“Kesemua mereka yang merupakan 14 lelaki warganegara Myanmar kemudiannya ditahan. Pemeriksaan mendapati mereka berusia antara 18 hingga 44 tahun dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

“Selepas itu iaitu kira-kira pukul 2 petang, pasukan operasi yang sedang melaksanakan rondaan bermotosikal terserempak pula dengan seorang individu dalam keadaan mencurigakan di kawasan tanggungjawab sama.

“Pemeriksaan dijalankan mendapati individu tersebut juga merupakan warganegara Myanmar berusia 43 tahun yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sementara itu, di Kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Bgd) di Tanah Merah, Kelantan, sepasukan pegawai dan anggota tentera mengesan kelibat seorang individu yang dipercayai menyeberangi Sungai Golok di sempadan Malaysia dan Thailand.

“Pemeriksaan mendapati lelaki itu merupakan warganegara Thailand berusia 36 tahun dan tidak mempunyai dokumen perjalanan dan dia kemudiannya turut ditahan,” katanya.

“Kesemua PATI diserahkan kepada Balai Polis Kayu Hitam, di sini dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, Kelantan untuk tindakan lanjut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here