SINGAPURA, 21 Feb – Seorang rakyat Singapura berusia 15 tahun yang meradikalkan dirinya sendiri menerima Perintah Tahanan (OD) dan menjadi individu paling muda yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) setakat ini berkaitan dengan aktiviti keganasan.

Menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) republik itu, remaja lelaki ialah pelajar Menengah Tiga ketika ditahan di bawah ISA pada November 2022 dan telah menerima OD pada Disember 2022.

“Siasatan mendapati dia terpengaruh dengan propaganda pengganas dalam talian dan menyokong Al Qaeda (AQ) dan ISIS,” menurut kenyataan jabatan itu dikeluarkan di laman sesawang Kementerian Dalam Negeri pada Selasa.

Dia juga merancang untuk melakukan serangan di Singapura dan menyimpan hasrat untuk menubuhkan khalifah Islam dengan cara keganasan.

“Dia individu paling muda setakat ini yang ditahan di bawah ISA untuk aktiviti berkaitan keganasan,” menurut jabatan itu.

Remaja itu akan menjalani kaunseling agama intensif dengan dua kaunselor agama dari Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here