KUALA LUMPUR, 2 Mac – Penyedia kesihatan digital pertama dan terbesar di Malaysia, DOC2US serta Selgate Healthcare Sdn Bhd (Selgate), akan bekerjasama untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan digital yang komprehensif kepada jemaah haji Malaysia.

Kedua-dua pihak telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang akan membolehkan jemaah mengakses perkhidmatan penjagaan kesihatan maya dari jauh, yang menawarkan penjagaan kesihatan digital yang lebih mudah diakses selain berpatutan semasa menunaikan umrah dan haji.

Kedua-dua syarikat itu berkata kerjasama itu dijangka mempelopori penjagaan kesihatan digital dalam industri pelancongan, menyediakan lebih banyak pilihan kepada pengguna bagi mengekalkan keperluan penjagaan kesihatan dalam perjalanan mereka.

Selgate merupakan cabang penjagaan kesihatan Selgate Corporation, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama DOC2US Dr Raymond Choy berkata pihaknya berhasrat untuk bekerjasama dengan kerajaan serta pihak berkuasa berkaitan bagi menyelesaikan kekangan yang dihadapi oleh industri dan jemaah haji.

“Untuk jemaah haji yang berada di negara asing lain yang memerlukan rawatan perubatan semasa menunaikan haji, mereka akan mendapat akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan digital seperti telekonsultasi, nasihat kesihatan secara maya, e-preskripsi serta banyak lagi, melalui DOC2US dan Selgate,” katanya.

MoU DOC2US serta Selgate akan menyaksikan integrasi teknologi dan platform kesihatan digital DOC2US dengan anak syarikat Selgate, termasuk aplikasi super Selangkah, yang mana kedua-duanya akan bekerjasama dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan digital yang bersepadu dan lancar kepada jemaah haji Malaysia.

“Melalui integrasi ini, penggunaan aplikasi Selangkah dan penyelesaian pengesanan GPS DOC2US akan membolehkan pemantauan serta pengesanan masa nyata kesihatan termasuk lokasi jemaah, yang akan membantu memberikan rawatan perubatan tepat pada masanya sekiranya berlaku kecemasan dan kemungkinan mewujudkan kerjasama lain pada masa depan,” kata syarikat itu.

Pengarah Eksekutif Selgate Corporation, Datuk Noor Hisham Mohd Ghouth berkata kerjasama itu bukan sahaja akan membantu meningkatkan kesihatan serta kesejahteraan jemaah haji tetapi juga membawa kepada pembangunan penyelesaian penjagaan kesihatan baharu dan inovatif.

“Dengan memanfaatkan teknologi serta penyelesaian penjagaan kesihatan yang inovatif untuk integrasi perkhidmatan kesihatan, ia bukan sahaja akan meningkatkan kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan yang diberikan kepada jemaah haji tetapi juga memberi manfaat kepada industri penjagaan kesihatan secara keseluruhan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here