GEORGE TOWN, 8 Mac – Polis menahan enam sekeluarga termasuk sepasang suami isteri dan dua anak mereka serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM128,912 dalam serbuan di Perai dan Jelutong.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata bertindak hasil maklumat awam dan risikan sejak beberapa minggu lepas, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 57 tahun bersama sejumlah dadah pada 6 petang di kawasan Perai.

“Susulan penahanan itu, polis menyerbu rumahnya di Jelutong dan menahan isterinya seorang suri rumah warga Indonesia berusia 45 tahun, anak lelakinya berusia 16 tahun yang merupakan pelajar sekolah serta anak perempuan berusia 22 tahun yang bekerja sebagai pereka grafik.

“Polis turut menahan abang iparnya yang berusia 64 tahun dan saudara lelakinya berusia 22 tahun,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata polis merampas syabu seberat 3,192 gram (g) dan 1,400 biji pil yaba yang kesemuanya bernilai RM128,912.

Soffian berkata siasatan awal mendapati rumah itu adalah milik suspek pertama dan selain tinggal di situ bersama keluarga, lelaki berkenaan turut menjadikan kediaman tersebut sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan semula dadah.

Beliau berkata mereka dipercayai bergiat aktif sejak enam bulan lepas dengan mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian sindiket sebelum membungkusnya semula dalam kuantiti kecil dan dijual kepada pembeli di sekitar Seberang Perai.

“Polis menyita wang tunai berjumlah RM59,900 manakala semua enam individu tersebut direman hingga 10 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksysn 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,“ katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here