IPOH, 8 Mac – Polis Perak merampas 14,000 biji pil yaba bernilai lebih RM280,000 dalam serbuan di pekarangan sebuah rumah di Kamunting semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping itu turut memberkas seorang wanita dan seorang lelaki tempatan masing-masing berusia 34 dan 50 tahun dalam serbuan kira-kira pukul 11 malam itu.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah itu kita berjaya menemukan bungkusan mengandungi pil disyaki pil yaba dengan berat 1.425 kilogram. Polis turut menyita dua kenderaan dengan anggaran nilai harta RM103,500 dan nilai rampasan keseluruhan termasuk dadah bersama harta disita ialah RM383,500 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,“ katanya.

Kedua-dua suspek yang merupakan rakan sepenjenayah itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah.

Kedua-duanya suspek juga didapati mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan ujian saringan air kencing mendapati suspek wanita positif methamphetamine.

“Suspek direman tujuh hari bermula 8 Mac (hari ini) hingga 14 Mac bagi membantu siasatan dan jika disabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman mati mandatori,“ katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here