MEXICO CITY, 11 Mac – Pihak berkuasa Mexico menahan lima individu kerana disyaki terbabit dalam penculikan empat warga Amerika Syarikat (AS) dengan dua daripada mangsa terbunuh.

Pendakwa raya negeri Tamaulipas, di mana lokasi kejadian berlaku, berkata waran dikeluarkan untuk lima individu bagi jenayah penculikan dan pembunuhan.

Mereka adalah lima lelaki sama yang ditinggalkan dengan tangan diikat di jalan oleh kononnya anggota Gulf Cartel, kata sumber di pejabat pendakwa kepada AFP.

Pada Khamis, media tempatan menyiarkan kenyataan yang kononnya dari Gulf Cartel yang mengatakan kumpulan itu “memohon maaf” atas insiden berkenaan.

Kumpulan itu memutuskan untuk menyerahkan pelaku kepada pihak berkuasa kerana mereka bertindak tanpa kebenaran ketua kartel.

Empat mangsa diculik selepas menyeberangi sempadan ke negeri Tamaulipas yang dilanda jenayah.

Dua mangsa yang terselamat, seorang daripadanya mengalami luka di kaki akibat tembakan, dibawa pulang ke AS pada Selasa melalui lintasan sempadan darat, beberapa jam selepas mereka diselamatkan.

Mayat dua warga AS dihantar pulang pada Khamis, kata pihak berkuasa.

Pihak berkuasa Mexico yakin pengedar dadah menganggap mangsa sebagai saingan dan menembak apabila mangsa cuba melarikan diri.

Seorang pemerhati Mexico turut terbunuh dalam tembakan itu.

Pejabat pendakwa raya sebelum ini melaporkan penahanan seorang lagi suspek yang menjaga tawanan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here