KUALA LUMPUR, 11 Mac – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan mengenal pasti tanah terbiar kerajaan Persekutuan dan tanah rizab yang berpotensi dimajukan sebagai kebun kejiranan bandar bagi membuka peluang pekerjaan dan menambah pendapatan golongan B40.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata pihaknya akan bekerjasama dengan beberapa pihak termasuk Kementerian Ekonomi serta Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan bagi menyenaraikan lokasi terlibat selain bekerjasama dengan pihak yang mempunyai kepakaran berkaitan.

“Sesungguhnya, usaha kuat dan iltizam tinggi ahli komuniti dalam menjayakan 40 Projek Kebun Kejiranan Bandar ini (sedia ada), saya lihat telah berjaya menghasilkan pelbagai tanaman yang boleh dinikmati oleh komuniti setempat.

“Adalah lebih berfaedah sekiranya, hasil tanaman di kebun kejiranan ini, boleh dijadikan punca pendapatan tetap kepada ahli komuniti yang terlibat, dengan hasil tanaman yang segar dan berkualiti sudah tentu boleh dipasarkan kepada pihak yang memerlukan seperti FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan), restoran dan pasar berdekatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Anugerah Kebun Kejiranan Bandar Kuala Lumpur 2023 dan Pelancaran Buku Panduan Pelaksanaan Kebun Kejiranan Bandar Local Agenda 21 Kuala Lumpur (LA21 KL) bersempena Festival Taman Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mahadi berkata pihaknya juga telah melakukan libat urus dengan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkaitan inisiatif berkenaan baru-baru ini.

Beliau berkata selain membuka peluang pekerjaan kepada golongan berpendapatan rendah, usaha itu juga secara tidak langsung mampu mengurangkan kos penyelengaraan tanah terbiar yang menelan belanja tinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here