KUALA LUMPUR, 16 Mac – Seorang individu dikenali sebagai Datuk Roy yang direman tiga hari berakhir hari ini, bagi membantu siasatan berhubung Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa), dijangka dilepaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peguam bela lelaki berkenaan, Fahmi Abd Moin, berkata perintah itu akan dikeluarkan oleh Majistret Kuala Lumpur, Noorelynna Hanim Abd Halim, pada pagi ini.

Bagaimanapun, katanya Datuk Roy akan ditahan semula oleh SPRM selepas dibebaskan dengan jaminan bagi membantu siasatan kes lain.

“Anak guam mungkin akan dibawa ke Mahkamah Putrajaya esok untuk direman. Saya pun tidak pasti membabitkan kes apa.

“Setakat ini, saya tiada maklumat bila anak guam akan dituduh di mahkamah,” katanya.

Media melaporkan Datuk Roy ditahan ketika hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, di pejabat SPRM di sini, pada jam 3 petang Isnin lalu.

Sebelum ini, Datuk Roy diburu SPRM kerana didakwa menjadi perancang utama dalam siasatan kes meminta dan menerima rasuah RM400,000 bagi mengelakkan siasatan membabitkan program Jana Wibawa.

Empat individu termasuk seorang pegawai SPRM ditahan, namun kemudian dibebaskan dengan jaminan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berkenaan atas tujuan sama.

Datuk Roy yang beralamat di Kuantan, Pahang, pernah dipenjara kerana terbabit kes rasuah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here