ALOR SETAR, 16 Mac – Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, tewas tipis dalam saingan sengit pemilihan jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Kedah hari ini.

Dalam keputusan yang diumumkan malam ini, penyandang jawatan, Noor Hasita Mat Isa diumumkan menang selepas memperoleh 285 undi, berbanding Mashitah yang meraih 269 undi.

Setiausaha UMNO Kedah, Datuk Ariffin Man, berkata keputusan itu menyaksikan Noor Hasita menang jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Kedah dengan majoriti 16 undi.

Katanya, proses pemilihan semula sayap Wanita UMNO Bahagian Kuala Kedah yang diadakan di Bangunan Tunku berjalan lancar bermula jam 2.30 petang hingga 5.30 petang tadi.

“Proses pendaftaran dan pengundian semuanya berjalan baik, tempat mengundi juga lebih selesa kerana kita sediakan lebih 50 kotak undi untuk perwakilan.

“Dalam proses pendaftaran dan pengundian, kita boleh simpulkan daripada 762 perwakilan yang layak mengundi, seramai 555 hadir bagi proses pemilihan hari ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here