BEIJING, 5 April – Jabatan Pentadbiran Ruang Siber China (CAC) memaklumkan skala ekonomi digital China kini menduduki tangga kedua dalam ranking dunia.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah CAC, Cao Shumin, industri digital berkembang dengan stabil dan menjadi antara penggerak pertumbuhan ekonomi di negara ini.

“Jumlah stesen pangkalan 5G mencecah 2.31 juta di China setakat penghujung tahun 2022, membolehkan lebih 500 juta keluarga dapat akses kepada rangkaian optik gigabit.

“China telah menjadi negara pertama di dunia dengan jumlah peranti yang disambungkan ke rangkaian Internet Benda mudah alih lebih banyak berbanding dengan bilangan pengguna telefon bimbit,” kata Cao.

Beliau turut mengumumkan mengenai pembangunan digital di China  sudah mencapai kemajuan baharu pada 2022.

Sektor pembuatan maklumat elektronik China menyaksikan pertumbuhan yang stabil pada tahun 2022 dengan pendapatan operasi berjumlah RMB15.4 trilion (RM9.86 trilion).

Pendapatan perniagaan industri perisian pula buat kali pertama menokok RMB10.8 trilion(RM6.9 trilion) manakala kadar penggunaan teknologi maklumat dalam sektor pertanian direkodkan melebihi 25 peratus.

Sehingga kini, internet perindustrian turut berjaya diaplikasikan di 45 kategori utama ekonomi di negara ini.

Dalam perkembangan lain, jumlah penghasilan data China menduduki tempat kedua di dunia pada masa ini manakala perkongsian data turut mencapai kemajuan pada 2022 dengan sebanyak 208 kerajaan peringkat provinsi dan bandar telah membuka platform data masing-masing.

Tambah Cao, China juga mencapai konsensus kerjasama dengan negara lain dalam bidang digital.

“China telah mengemukakan cadangan untuk menggubal Pelan Tindakan G20 mengenai Inovasi dan Kerjasama Digital, mencapai Kerangka Perkongsian Ekonomi Digital Negara BRICS dan mengeluarkan kertas putih bertajuk ‘Membina Bersama Komuniti Berkongsi Nasib di Ruang Siber’ serta menubuhkan organisasi antarabangsa Persidangan Internet Dunia (WIC),” kata beliau.

Sementara itu, wakil Jabatan Inovasi dan Pembangunan Berteknologi Tinggi bagi Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara China, Sun Wei, berkata China telah mengemukakan inisiatif untuk melaksanakan hasil yang dicapai dalam Dialog Peringkat Tinggi mengenai Pembangunan Global dalam sektor ekonomi digital.

Beliau berkata China juga telah menyediakan penyelesaian untuk menggalakkan lebih banyak negara menyertai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Digital, memperkasa kerjasama tadbir urus ekonomi digital pelbagai hala bagi mewujudkan iklim antarabangsa yang baik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here