BEIJING, 5 April – Ekspo Produk Pengguna Antarabangsa China (Ekspo Hainan) dijadualkan diadakan di Haikou, provinsi Hainan China pada 10 hingga 15 April.

Keluasan kawasan pameran kali ini seluas 120,000 meter persegi, meningkat 20 peratus berbanding tahun lalu.

Menurut Naib Menteri Perdagangan China, Sheng Qiuping, terdapat lebih 3,100 jenama terkemuka dari lebih 60 buah negara dan kawasan akan menyertai ekspo ini.

“Itali selaku negara tetamu kehormat akan mempamerkan 147 buah jenama dan keluasan pamerannya mencatat kira-kira 1,800 meter persegi, meningkat kira-kira satu kali ganda berbanding tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata terdapat ahli politik daripada tujuh negara dan pegawai kanan pertubuhan antarabangsa yang telah bersetuju untuk menghadiri ekspo kali ini.

Selain itu, ketua pegawai eksekutif syarikat Fortune Global 500 atau syarikat induk dalam sesebuah bidang turut akan menyertai ekspo ini secara maya.

Sepanjang tempoh pameran, aktiviti seperti forum, seminar, sidang pemakluman, rundingan perdagangan dan promosi pelaburan juga akan diadakan.

Selain China, sebanyak 10 negara anggota Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan mengambil bahagian dalam ekspo tahun ini termasuk Jepun, Korea Selatan, Thailand dan Vietnam.

Sementara itu, syarikat dari Malaysia, Indonesia dan Singapura pula akan mempamerkan produk istimewa masing-masing termasuk kopi dan sarang burung walet.

Bagi syarikat dari Australia dan New Zealand, masing-masing akan membawa produk berkualiti tinggi seperti produk tenusu, penjagaan kesihatan badan dan makanan.

Memetik data Kementerian Perdagangan China, pengimportan produk pengguna pada 2022 direkodkan sebanyak RMB1.93 trilion (RM1.24 trilion), iaitu meliputi 11 peratus jumlah pengimportan China.

Pada masa sama, jumlah pengimportan peniaga e-dagang merentasi sempadan mencapai RMB560 bilion (RM359 bilion), yang meningkat 4.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Usaha China untuk menggalakkan pengimportan produk pengguna yang berkualiti tinggi bukan sahaja telah memenuhi keperluan penduduk, tetapi juga menyediakan peluang perniagaan kepada syarikat pelbagai negara, sekali gus membawa momentum kepada pemulihan ekonomi dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here