KUALA LUMPUR, 5 April – Pemuda UMNO menetapkan bahawa semua sayap Pemuda bahagian perlu membuat lantikan ahli jawatan kuasa melibatkan sekurang-kurangnya seorang individu berumur bawah 25 tahun. 

Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh berkata pihaknya menerusi langkah ini akan cuba untuk mengembalikan semula kepercayaan orang muda terutama pengundi Melayu terhadap  UMNO dan Barisan Nasional.  

“Dahulu nak masuk UMNO ini susah, tapi kali ini kita nak membuka ruang seluas-luasnya kepada semua anak muda luar sana. Kita hendak bawa anak muda ini untuk masuk UMNO dengan jalan yang mudah.

Sekarang ini kita tak boleh nak buat ikut cara lama seperti kena hantar borang dan cap. Dengan ada teknologi yang baharu kita akan mencari solusi dan langkah penyelesaian untuk memudahkan cara untuk menjadi ahli pemuda UMNO,” katanya.

“Tumpuan kali ini adalah untuk  memperkukuhkan sokongan akar umbi UMNO. Kita akan menghadapi PRU16 (Pilihan Raya Umum ke-16) dan Pilihan Raya Negeri (PRN). 

Jika kita lihat 51 peratus merupakan pengundi  bawah 40 tahun dan kebanyakan mereka ini ada juga umur bawah 25 tahun juga. Oleh itu, kita akan memastikan pemuda (UMNO) mesti menjuarai suara rakyat,” katanya. 

Sementara itu, Muhamad Akmal berkata Pemuda UMNO tidak membantah pelaksanaan cagaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pinjaman bank yang akan dibuat oleh pencarum KWSP dan akan menyediakan cadangan penambahbaikan.

“Pemuda tidak pernah lari daripada perjuangan. Kita akan membawa isu rakyat, malah isu KWSP perlu diperjuangkan.  

Kita tidak bantah tetapi kita ada cadangan penambahbaikan yang kita akan umumkan tidak lama lagi,” katanya. 

Semalam, KWSP  telah memperincikan mekanisme serta terma dan syarat bagi Fasiliti Sokongan Akaun Dua (FSA2) yang akan dilaksanakan dalam dua fasa, bermula 7 April bagi Fasa Satu. 

Pencarum KWSP berusia 40 tahun dan ke atas yang mempunyai baki minimum RM3,000 dalam Akaun 2 masing-masing layak membuat pinjaman bank menerusi FSA2 bermula 7 April inI di mana ahli yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon melalui bank yang mengambil bahagian iaitu MBSB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here