KANGAR, 10 April – Bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, terhadap lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.18 juta antara 2013 dan 2017.

Azlan, 64, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Mengikut kesemua pertuduhan, Azlan sebagai ejen kerajaan negeri Perlis iaitu Menteri Besar Perlis didakwa menggunakan beberapa dokumen mengandungi butiran palsu bagi membuat tuntutan kemudahan Cuti Seberang Laut ke London, United Kingdom sedangkan tidak ada perjalanan seperti yang dituntut tersebut.

Dokumen itu antaranya invois dan sebut harga tiket penerbangan pergi balik dan hotel penginapan yang dikeluarkan Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd, selain Pesanan Kerajaan Negeri Perlis (borang AM 75E) yang didakwa digunakan bagi membuat tuntutan kos tiket penerbangan, hotel penginapan dan pengangkutan.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Persiaran Wawasan di sini, antara Disember 2013 hingga Disember 2017.

Bagi semua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Sabit kesalahan, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau silap itu atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan Azlan dikenakan jaminan RM50,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.

Azlan diwakili peguam Burhanudeen Abdul Wahid manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib.

Sementara itu, Ahmad Akram memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan kes dalam tempoh sebulan ini memandangkan Azlan turut dijangka berhadapan dengan lima pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613) di Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu ini.

Beliau turut mencadangkan agar perbicaraan kes di bawah Seksyen 18, Akta SPRM 2009 di Mahkamah Sesyen Kangar dipindahkan ke Mahkamah Kuala Lumpur bagi memudahkan proses perbicaraan di bawah kedua-dua akta yang dihadapi tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Mei ini sebagai tarikh sebutan kes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here