IPOH, 14 April – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melantik syarikat perunding untuk mengenal pasti punca Indeks Kebahagiaan bandar raya itu yang menurun sekali gus memastikan sasaran meletakkan Ipoh dalam kelompok Bandar Paling Bahagia menjelang 2030 tercapai.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata walaupun normal bagi indeks kebahagiaan menurun jika Indeks Kemampanan meningkat di mana-mana bandar di dunia, MBI menyasarkan Ipoh seimbang bagi kedua-dua indeks berkenaan.

“Indeks Kemampanan termasuk Indeks Pendapatan di Ipoh memang meningkat tetapi, ini satu cabaran buat kita, kita mahu kedua-duanya seiring, justeru kita akan adakan perbincangan dengan syarikat perunding untuk mencapai sasaran ini,” katanya.

Terdahulu, Ipoh masih ketinggalan berbanding bandar lain di Malaysia melalui Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia 2022.

Ipoh memperoleh skor sebanyak 88.7 peratus bagi 2022 iaitu sedikit meningkat berbanding 81.1 peratus pada tahun sebelumnya, namun masih gagal mencapai 90 peratus ke atas.

Dalam laporan indeks itu, bandar raya Petaling Jaya, Manjung dan Kluang diiktiraf sebagai antara 10 Bandar Paling Bahagia 2022 di Malaysia.

Turut tersenarai ialah bandar Gua Musang, Klang, Kulai, Krai, Kuantan, Rompin dan Alor Gajah yang dipilih sebagai bandar paling bahagia melalui Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia 2022 yang dijalankan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa.

Sementara itu, Rumaizi dalam majlis berlainan menyampaikan hadiah kepada pemenang hadiah pertama Cabutan Bertuah Cukai Taksiran MBI.

Tuah menyebelahi seorang guru, Chan Sook Teh, 42, apabila muncul sebagai pemenang hadiah pertama dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000.

Chan menyertai cabutan bertuah berkenaan setelah membayar cukai taksiran sebanyak RM188 secara dalam talian menerusi sistem JOMpay.

Rumaizi dalam ucapannya berkata sebanyak 141,283 bil telah dibuat pembayaran setahun yang mencatatkan jumlah bayaran lebihan sebanyak RM34.16 juta. 

“Bagi kutipan hasil keseluruhan pula mencatatkan jumlah sebanyak RM90 juta berbanding RM83 juta dalam tempoh yang sama pada 2022 dan MBI menawarkan hadiah berupa wang tunai berjumlah keseluruhan RM76,000 untuk cabutan bertuah,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here