KUALA LUMPUR, 14 April – Rakyat Malaysia yang ingin menyalurkan sumbangan untuk perjuangan Palestin dinasihatkan berbuat demikian melalui akaun bank yang sah yang dikendalikan oleh Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra), kata Duta Besar Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali.

Duta itu mengulangi bahawa kemudahan ini diwujudkan bagi memudahkan rakyat Malaysia menyumbang dan memastikan sumbangan mereka sampai kepada rakyat Palestin.

“Dalam tempoh lima tahun lepas, saya cuba menekankan bahawa sebarang sumbangan kepada masjid Al-Aqsa, Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan mana-mana rakyat Palestin, kami telah mengaktifkan semula akaun bank di bawah Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) secara rasmi untuk tujuan ketelusan. Kami tidak pernah meminta untuk menyumbang kepada kedutaan.

“Sebarang sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun bank ini dan wang itu akan disalurkan segera ke dana, ditaja oleh rakan kongsi kami di Jordan – Dana Hashemite yang dipengerusikan oleh Putera Ghazi, sepupu Raja Jordan Abdullah II,” katanya.

Pada 7 April lalu, media antarabangsa melaporkan tentera Israel melancarkan serangan udara terhadap Lubnan beberapa jam selepas Semenanjung Gaza diserang.

Dalam perkembangan berkaitan, Walid merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kerajaan dan rakyatnya kerana mengekalkan pendirian konsisten dalam konflik Israel-Palestin.

“Walaupun dunia mungkin menutup mata terhadap penderitaan Palestin selama beberapa dekad, Malaysia sebaliknya, memilih untuk tidak berdiam diri dengan kebiadaban dan jenayah berterusan tentera dan pendatang Israel pada bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya.

Duta Besar itu berkata kedutaannya juga merakamkan penghargaan kepada Wisma Putra atas sumbangan berjumlah US$50,000 kepada Masjid Al-Aqsa melalui Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Jordan.

Malaysia turut menyumbang sebanyak US$30,000 kepada Kementerian Pendidikan Palestin untuk kemudahan sistem solar di dua sekolah di Tebing Barat — projek kerjasama bersama antara Kedutaan Malaysia di Jordan dan Kementerian Pendidikan Palestin, sebagai tambahan kepada US$44,179 yang telah diedarkan kepada Global Peace Mission (GPM) Malaysia untuk projek pembinaan semula rumah di Gaza.

“Sekali lagi, Malaysia terbukti sebagai antara penyokong dan pembela paling kuat perjuangan Palestin,” katanya.

Rakyat Malaysia boleh menyalurkan sumbangan mereka untuk perjuangan Palestin melalui Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin di bawah seliaan Wisma Putra.

Semua sumbangan (tunai/cek) boleh disalurkan menerusi akaun CIMB Islamic Bank, di nombor akaun 8600302489 di bawah nama penerima Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin, Kementerian Luar Negeri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here