KUALA LUMPUR, 17 April – Hasil rundingan berhubung pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dijangka diumumkan selepas Aidilfitri atau sebelum hujung Mei ini.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil berkata pimpinan tertinggi parti politik PH dan BN akan mengumumkan hasil rundingan kerusi itu nanti.

“Saya percaya tidak lama lagi pimpinan akan umumkan hasil rundingan kerusi, tetapi saya jangkakan ia sangat positif,” katanya.

Bagaimanapun Fahmi berkata maklumat terperinci mengenai rundingan kerusi perlu dirujuk kepada Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail atau Timbalan Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli.

Sebelum ini, Saifuddin Nasution memaklumkan proses rundingan kerusi DUN telah dibincangkan di peringkat pusat antara PH dan BN berdasarkan parameter serta formula yang ditetapkan.

Pada 22 Feb lepas, menteri besar dan ketua menteri dari enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan mencapai kata sepakat untuk mempertimbangkan pembubaran DUN masing-masing dalam dua minggu terakhir Jun bagi memberi laluan kepada PRN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here