KUALA LUMPUR, 1 Mei – Agenda memperkukuh perpaduan negara tidak seharusnya diletakkan di atas bahu kerajaan semata-mata, sebaliknya rakyat pelbagai latar belakang dan kaum di negara ini perlu bersama-sama memainkan peranan masing-masing ke arah itu.

Pakar Sosial Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata kerajaan boleh melaksanakan pelbagai usaha untuk mencapai agenda besar itu namun tanpa sokongan dan dukungan daripada rakyat, konsep perpaduan sebenar yang ingin dikecapi tidak akan berjaya sepenuhnya.

Beliau berkata antara peranan yang boleh dimainkan rakyat termasuk memahami dan menerima hakikat kepelbagaian sosiobudaya, kepercayaan dan pencapaian ekonomi yang berbeza dalam kalangan rakyat di negara ini serta berusaha menghindar daripada menyentuh sensitiviti mana-mana kaum.  

“Bercakap tentang perpaduan, negara ini sememangnya dikenali dengan komposisi pelbagai bangsa dan agama, kita tidak menghalang atau mengkritik sesama kita sebaliknya masing-masing mempunyai kebebasan untuk amalkan apa sahaja budaya dan adat resam selagi tidak jejaskan masyarakat lain… dari situlah bagaimana negara bangsa terbentuk,” katanya.

Mohammad Shatar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia berkata peranan rakyat dalam menyokong agenda perpaduan negara kini sememangnya diharapkan susulan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang ingin mencapai agenda itu menerusi prinsip Malaysia MADANI.

Katanya pembentukan Kerajaan Perpaduan merupakan senario baharu politik negara iaitu kerajaan campuran terpaksa dibentuk susulan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 yang berakhir dengan tiada satu parti politik pun memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.          

“Senario ini lebih menyerlah apabila buat julung kalinya sejak kita mencapai kemerdekaan lebih 60 tahun lepas, Kerajaan Perpaduan terbentuk dengan tiada satu parti politik menang majoriti… dan daripada situlah kita dapat lihat mereka (pemimpin politik) perlu bersatu serta bekerjasama antara satu sama lain,” katanya.

Justeru, Mohammad Shatar berkata dalam keghairahan memperkatakan tentang perpaduan, semua pihak perlu memahami bahawa perlu ada keseimbangan agar ‘adunan’ perpaduan yang hendak diwujudkan tidak menimbulkan sebarang elemen kecil hati atau mengguris mana-mana bangsa.

Menurut Mohammad Shatar, disebabkan setiap bangsa dan agama itu tidak berada dalam kedudukan sama, maka fungsi kerajaan adalah untuk memastikan keseimbangan berlaku supaya adunan perpaduan dapat direalisasikan dalam konteks yang sebenar.

“Kita sebagai masyarakat jangan sesekali menempelak kerajaan kalau kita rasa kerajaan berikan sedikit keutamaan kepada sesuatu bangsa, sebab bukan tujuan untuk memberikan kelebihan sebaliknya untuk pastikan terdapatnya keseimbangan dalam setiap komposisi masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Negara Senator Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata rakyat mempunyai tanggungjawab menjaga perpaduan yang telah terbina selama ini dan tidak harus menjadikan diri mereka sebagai ‘api dalam sekam’ dalam negara dan kepada anak bangsa sendiri.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah) berkata rakyat mahukan keselesaan, hak anak-anak mendapatkan pelajaran, mempunyai pekerjaan dan sebagainya dan atas asas-asas berkenaan seharusnya membuatkan rakyat bersikap positif serta matang untuk mewujudkan kestabilan dalam negara.

“Kalau boleh, rakyat yang mempunyai pemikiran positif perlu berkongsi idea menerusi media sosial dengan menekankan semangat perpaduan kerana ini menjadi platform rakyat hari ini untuk bersuara, bukan lagi turun ke jalanan dan sebagainya…. saya kira ini juga secara tidak langsung dapat menewaskan ‘suara-suara’ negatif yang timbul melibatkan perpaduan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here