GEORGE TOWN, 3 Mei – Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, mencapai persetujuan secara konsensus untuk mengelak pertembungan calon pada pilihan raya negeri (PRN) Pulau Pinang.

Pengerusi PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata rundingan PH-BN diadakan semalam hanya menumpukan kepada 15 kerusi pengundi majoriti Melayu dan menerusi rundingan itu, beberapa persetujuan telah dicapai.

“Antara persetujuan yang penting adalah kedua-dua pihak bersetuju untuk elak pertembungan calon-calon pada PRN dan semua harus pastikan PH menang besar pada PRN nanti,” katanya.

Beliau berkata disebabkan rundingan hanya kepada kerusi-kerusi majoriti pengundi Melayu, jadi BN diwakili UMNO dan BN juga setuju akan menguruskan isu-isu dalaman termasuk dengan komponen parti lain dalam BN.

Chow berkata walaupun kedua-dua pihak mempersetujui dengan prinsip bahawa penyandang akan diberi peluang untuk mempertahankan kerusi namun pada masa sama, PH-BN juga bersetuju akan memberi pertimbangan dengan kriteria dan prinsip yang lain sekiranya perlu.

“Runding pertama kali PH-BN ini adalah hanya fokus kepada kerusi-kerusi majoriti pengundi Melayu sahaja… jadi akan ada banyak lagi perbincangan antara kedua-dua pihak sebelum PRN nanti. Semua perkara yang dipersetujui dalam rundingan akan dibawa balik kepada parti-parti masing-masing untuk diperhalusi,” katanya.

Beliau berkata semua kerusi yang akan direbut oleh PH-BN masih lagi belum dimuktamadkan dan perbincangan antara kedua-dua pihak akan diteruskan.

Mesyuarat PH-BN semalam telah dihadiri oleh Chow, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Timbalan pengerusi II PH negeri Datuk Dr Roslan Ahmad, Setiausaha PH negeri Lim Hui Ying, Bendahari PH negeri Goh Choon Aik dan Pengarah Komunikasi dan Penerangan PH negeri Dr Zaidi Zakaria manakala BN di wakili oleh Pengerusi UMNO negeri Datuk Musa Sheikh Fadzir, Timbalan Pengerusi Datuk Dr Shaik Hussein Mydin, Setiausaha Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah, Bendahari Datuk Jeffri Salim, Setiausaha BN Pulau Pinang Datuk Omar Faudzar dan Pengerusi Jabatan Pilihan Raya UMNO Malaysia Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Bagaimanapun ketika ditanya mengenai permintaan parti-parti untuk kerusi yang akan ditandingi, Chow berkata apa-apa yang diminta masih lagi terlalu awal untuk didedahkan lagi dan rundingan dalam masih berjalan.

“Rundingan semalam yang berlangsung selama sejam berjalan lancar dan aman… jadi saya telah diberi mandat untuk mengumumkan mengenai perbincangan semalam dan saya berharap rundigan sedemikian akan lebih kerap dilakukan dalam masa terdekat sehingga PRN,” katanya.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pada PRU14, PH memenangi 37 kerusi, termasuk dua kerusi DUN daripada calon Bersatu yang ketika itu masih bersama PH manakala masing-masing dua dan satu kerusi dimenangi BN dan PAS.

Pada PRU-15 lepas, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu tidak membubarkan DUN, namun media sebelum ini melaporkan pemimpin enam negeri itu mencapai kata sepakat bahawa masa paling sesuai pembubaran DUN masing-masing adalah dalam dua minggu terakhir Jun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here