PASIR PUTEH, 13 Mei – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan cuaca panas yang melanda negara ketika ini tidak mempengaruhi petani, nelayan dan penternak untuk menghasilkan serta mengeluarkan bekalan makanan.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pihaknya akan terus memantau dan membuat kajian mengenai situasi itu dari semasa ke semasa supaya tidak menjejaskan semua pihak.

“Setakat ini kita (KPKM) belum menerima sebarang laporan daripada mereka mengenai bekalan makanan tidak mencukupi kerana ia masih lagi di peringkat awal musim panas berlaku dan kita masih lagi mempunyai simpanan stok barangan terbabit.

“Kita akan terus pantau dari semasa ke semasa kerana musim panas ini dijangka berlarutan hingga Ogos depan dan saya nasihatkan kepada petani, nelayan dan penternak supaya menjaga kesihatan dan mengambil langkah berjaga-jaga ketika pergi ke lapangan,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata kerajaan telah meluluskan sebanyak RM600,000 bagi pembinaan tiga lokasi unjam di Kelantan iaitu Persatuan Nelayan Kawasan Tumpat, Bachok dan Kota Bharu yang akan memberi manfaat kepada 3,785 nelayan.

“Saya juga ingin mengumumkan bahawa sebuah projek naik taraf dan baik pulih infrastruktur jeti di Kuala Kemasin, Kelantan diluluskan dengan peruntukan berjumlah RM200,000 yang bakal memberi manfaat kepada 150 nelayan dan 80 bot.

“Selain itu, dengan wujudnya Kilang Air Batu Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) di LKIM Bachok yang mula beroperasi pada Mac lalu, diharapkan ia dapat membantu nelayan di kawasan ini mendapatkan bekalan ais yang mencukupi untuk memastikan kualiti ikan dapat dipelihara sebelum sampai kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata berikutan teknologi sentiasa berubah dari semasa ke semasa, pertumbuhan dan daya maju sektor perikanan memerlukan nelayan mengubah cara perikanan yang tradisional kepada cara lebih komersial dan lestari.

“Kami sedang berusaha untuk memajukan pengeluaran komoditi perikanan melalui kemudahan jeti pendaratan ikan, pemodenan vesel penangkapan ikan, memberikan bantuan input perikanan seperti bantuan pukat, jaket keselamatan dan lain-lain lagi. 

“Kesemua strategi dan program yang diusahakan oleh kerajaan tidak akan dapat dicapai hanya dengan cetusan idea sahaja kerana ia perlu dirancang dengan rapi, dijalankan dengan baik dan diawasi perkembangannya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here