KUALA LUMPUR, 15 Mei – Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 memberi perspektif baharu kepada rakyat tentang kepentingan kerjasama pelbagai parti dalam mengembalikan semula kestabilan politik sekali gus membolehkan negara bergerak ke hadapan.

Peniaga, Masitah Mad Dirus, 55, berkata konvensyen tersebut telah membuktikan bahawa parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan mampu memikul agenda suara rakyat secara bersama.

“Konvensyen yang diadakan hari ini sudah tentu akan merapatkan lagi perpaduan antara parti yang dahulu kita rasa berpecah dan sekarang ini, mereka (parti) sudah bersatu dan ia memang sesuatu yang bagus,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau yang juga ahli Amanah berkata pada konvensyen itu, seramai 150 orang ahli Amanah dari Melaka hadir memberi sokongan.

Pengurus kilang, M. Jagathesan, 55, pula berkata konvensyen berkenaan telah membuka mata rakyat berkenaan hala tuju yang akan dibawa Kerajaan Perpaduan dalam mengemudi negara.

Beliau yang datang dari Kedah hadir mewakili MIC Bahagian Padang Serai.

Sementara itu, Lim Yoke Ying, 50, berkata konvensyen itu menujukan betapa prihatinnya kerajaan terhadap kebajikan rakyat.

“Seperti yang dikatakan, konvensyen ini adalah yang pertama seumpamanya dan terbukti Kerajaan Perpaduan nampak lebih meyakinkan berbanding apa yang saya lihat pada masa lalu,” katanya.

Beliau memutuskan untuk menyertai konvensyen itu selepas mengetahui mengenainya ketika berjalan-jalan di pusat beli-belah berhampiran Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang diadakan buat julung kali itu membuka tirai menerusi Konvensyen Nasional Wanita Kerajaan Perpaduan dan Konvensyen Nasional Pemuda Perpaduan, yang diadakan secara serentak pagi ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here