PUTRAJAYA, 2 Jun – Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan memulakan lawatan kerja ke Paris, Perancis bermula hari ini dengan mengadakan pertemuan bersama rakan sejawatan, Catherine Colonna bagi membincangkan kerjasama dua hala serta hal-hal serantau dan antarabangsa untuk kepentingan bersama.

Zambry yang dalam rangka lawatan kerja sulung ke Paris sehingga esok (2 Jun) sejak pelantikannya sebagai Menteri Luar pada Disember 2022, berkata beliau akan turut mengadakan sesi libat urus bersama Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Audrey Azoulay, French Institute of International Relations (IFRI) dan Senat Perancis di Paris.

“Saya juga akan bertemu dengan Rektor Masjid Besar Paris, Chems-Eddine Hafiz, untuk membincangkan serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu utama, termasuk usaha untuk menangani Islamophobia,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata Malaysia dan Perancis mempunyai jalinan persahabatan yang erat berasaskan kerjasama ekonomi yang aktif dan hubungan antara rakyat yang mesra.

“Lawatan ini akan meningkatkan lagi hubungan dua hala yang telah memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, seperti yang dilaksanakan menerusi kerjasama sedia ada dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pertukaran teknologi,” katanya.

Pada tahun 2022, Perancis merupakan rakan dagangan ke-21 terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara-negara anggota Kesatuan Eropah dengan jumlah dagangan bernilai RM18.05 bilion (US$4.19 bilion), peningkatan sebanyak 39.1 peratus berbanding nilai yang dicatatkan pada tahun 2021.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here