KUALA LUMPUR, 9 Jun — Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas ke atas pelawak Jocelyn Chia, termasuk mengharamkan kemasukannya ke Malaysia.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh berkata perbuatan wanita berkenaan, jelas tidak mencerminkan sikap sensitiviti terhadap rakyat Malaysia.

“Wanita berkenaan perlu diambil tindakan mengikut undang-undang, kerana lawak yang dibuatnya keterlaluan melibatkan kehilangan pesawat MH370, ternyata melukakan hati waris mangsa,” katanya kepada pemberita selepas berarak membantah isu hina Malaysia oleh Chia di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, Jalan Tun Razak, di sini, hari ini.

Terdahulu, Muhammad Akmal bersama Ketua Pemuda MCA Kebangsaan Datuk Nicole Wong Siaw Ting, menghantar memorandum ke Kedutaan Amerika Syarikat hari ini.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengecam tindakan dan perbuatan tidak sensitif oleh Chia, yang memperlekeh Malaysia serta mempersenda tragedi yang pernah melanda negara.

Pada Rabu, tular video Chia ketika membuat persembahan komediri bertajuk ‘Singapore vs Malaysia’, memperlekehkan tragedi kehilangan pesawat itu, selain membuat kenyataan jelik tentang Malaysia dan tindakan itu mengundang kemarahan rakyat Malaysia.

Susulan itu, kerajaan Singapura memohon maaf selain menegaskan kenyataan Chia itu tidak sama sekali mencerminkan pandangan Republik itu, selain memaklumkan wanita itu bukan lagi warganegaranya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here