SEREMBAN, 14 Jun – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited menyelesaikan isu projek sakit di seluruh negara dengan 118 projek perumahan swasta dipulihkan setakat 30 April lepas.

Menteri berkenaan Nga Kor Min berkata daripada jumlah itu, 100 projek berjaya dipulihkan dan menerima Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) manakala 18 lagi dipantau sehingga kembali mengikut jadual pembinaan.

“KPKT akan terus berusaha memastikan projek perumahan di bawah naungan kami, termasuk Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), adalah berkualiti tinggi dan mampu milik untuk rakyat selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12.

“Di bawah PR1MA sendiri, kita ada 17 projek sakit dan setakat hari ini, kita bersyukur sembilan projek berjaya diselamatkan dan telah diserahkan kunci, bakinya menjelang akhir tahun depan atau suku tahun pertama 2024, kita akan pastikan tiada lagi projek sakit PR1MA,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kunci Residensi Seremban Sentral yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Aminudin Harun dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook di sini hari ini.

Residensi itu terdiri daripada 1,504 unit apartmen dengan 890 unit, atau 59 peratus, daripadanya sudah terjual setakat 31 Mei lepas.

Nga berkata selain Residensi Seremban Sentral, dua lagi projek iaitu Residensi Bandar Ekar, Rantau dan Residensi Port Dickson di bawah perbadanan itu yang membabitkan 1,425 unit kediaman sedang dibangunkan dan dijangka siap pada suku keempat tahun ini.

Beliau berkata KPKT dengan kerjasama kerajaan negeri juga menyediakan empat Projek Perumahan Rakyat di Negeri Sembilan merangkumi 770 unit manakala 590 unit kediaman mampu milik telah siap dibina dengan 3,126 dalam pembinaan dan 380 unit dalam perancangan.

Loke pula berkata Residensi Seremban Sentral adalah sebahagian daripada cadangan Pembangunan Seremban Sentral bermatlamat menerapkan konsep Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) bagi memastikan keperluan pelbagai golongan masyarakat di bandar raya itu dapat dipenuhi.

Beliau berkata konsep TOD akan menghimpunkan blok kediaman termasuk rumah mampu milik, pejabat, dan hab pengangkutan awam memandangkan Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Seremban menjadi lokasi utama akses kepada pengangkutan awam, kemudahan serta infrastruktur.

Justeru, katanya Railway Assets Corporation (RAC) sedang membaik pulih stesen itu yang merangkumi penaiktarafan parkir dengan kos sebanyak RM8.3 juta dan dijangka siap pada 7 Jan 2025.

Loke juga berkata perkhidmatan bas ekspres yang berhampiran residensi itu akan dinaik taraf bagi membolehkan penduduk mengunjungi keluarga atau menjalankan urusan di tempat lain dengan lebih sistematik selain laluan pejalan kaki ke stesen bas Terminal One Seremban.

“Kita nak memastikan tanah di stesen pengangkutan awam terutama stesen KTM dapat dibangunkan untuk menyokong agenda mampu milik ini, sudah tentu kalau ada ruang dengan PR1MA, kita akan mencari peluang itu.

“Kita harapkan supaya pembangunan Seremban Sentral berlandaskan KL Sentral walaupun skop dan pembangunan berlainan tapi apa yang penting, konsepnya mampu mengintegrasikan bangunan… masyarakat di sini tak perlu bawa kereta boleh terus ke bangunan berlainan,” katanya.

Beliau berkata penaiktarafan stesen KTMB Seremban itu juga tidak akan menjejaskan struktur asal bagi menjaga nilai sejarahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here