SUBANG JAYA, 14 Jun – Kementerian Pendidikan (KPM) melalui sesi libat urusnya bersama Yayasan-yayasan Negeri SeMalaysia hari ini menubuhkan satu Sekretariat Yayasan bagi memastikan pemantapan pendidikan di negeri-negeri. 

Menteri berkenaan Fadhlina Sidek berkata sekretariat itu akan berfungsi menyelaras beberapa program berkaitan pemerkasaan pendidikan di negeri-negeri membabitkan beberapa cabaran pendidikan seperti akademik, pembinaan karakter, kemiskinan, literasi dan keciciran. 

“Sekretariat ini berkuat kuasa serta merta bermula hari ini… segala perkara yang telah dirancang pada hari ini juga akan diteruskan melalui jawatankuasa kerja yang akan diterajui oleh Yayasan Selangor,” katanya ketika ditemui selepas sesi libat urus berkenaan di sini hari ini. 

Antara Yayasan Negeri yang hadir pada sesi libat urus pada hari ini ialah Yayasan Sarawak, Yayasan Islam Perlis, Yayasan Terengganu, Yayasan Pahang, Yayasan Melaka, Yayasan Pelajaran Johor, Yayasan Perak dan Yayasan Selangor. 

Mengulas mengenai arahan pemakaian baju sukan bagi murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di sekolah-sekolah, Fadhlina berkata arahan itu dikekalkan sehingga satu pengumuman lain dikeluarkan oleh KPM. 

“Setakat ini teruskan, dan kita lihat cuaca pun masih panas lagi jadi teruskan lagi, saya ingat kita bagi ruang dulu sehingga cuaca benar-benar sesuai untuk mereka kembali ke pakaian seragam sekolah, tetapi untuk sekarang ini teruskan. Kita tiada halangan,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here