KUALA LUMPUR, 16 Jun – Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia mencadangkan kerajaan untuk mewujudkan mekanisme, yang memerlukan pemegang lesen perniagaan memohon kepada persatuan peniaga, sebelum menggaji pembantu gerai warga asing.

Presidennya Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata penglibatan persatuan penting, bagi membanteras penyalahgunaan lesen itu selain dilihat mampu membantu mencegah budaya rasuah, daripada peringkat bawah.

“Kita cadang wujudkan undang-undang yang mana kita boleh bantu memantau peniaga, bagi memastikan mereka bertanggungjawab mematuhi peraturan menggaji pekerja asing ini, termasuk tidak lebih tempoh perkhidmatan iaitu sekitar tiga tahun.

“Menerusi mekanisme ini, persatuan akan berperanan sebagai pemudah cara dan bertindak seperti agensi yang ‘membekalkan’ pembantu gerai ini dan berurusan dan memohon dengan pihak berkuasa,” katanya.

Rosli berkata perkara itu turut disuarakan kepada Anwar yang mana Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira 40 minit, meninjau selain beramah mesra bersama penjaja di pusat tersebut.

Rosli berkata beliau turut menyuarakan kebimbangan tentang kebanjiran dan monopoli warga asing dalam perniagaan kecil di ibu negara termasuk secara haram dan berharap kerajaan akan mengambil tindakan lebih tegas dalam menangani isu yang dilihat berlaku di seluruh negara.

“Kalau boleh kita tidak mahu langsung ada penglibatan warga asing dalam sektor penjaja dan perniagaan kecil ini, biarlah semua lesen dan perniagaan dikendali oleh warga tempatan.

“Malah pada masa ini, rata-rata pekerja asing yang bekerja sebagai penjaja termasuk pembantu gerai ini tidak berdokumen dan bekerja secara haram di negara ini,” katanya.

Beliau berharap proses pemutihan dan operasi oleh pihak berkuasa juga dijalankan secara lebih kerap , berterusan dan lebih menyeluruh bagi membanteras situasi itu.

Sebelum ini Anwar menegaskan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menarik balik lesen perniagaan penjaja yang memberikan lesen berkenaan kepada pihak lain, termasuk warga asing.

Perdana Menteri berkata pihaknya bersama DBKL sedang merangka kaedah bagi memastikan peraturan tersebut dipatuhi, dalam memastikan ia memberi manfaat kepada peniaga tempatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here