ALOR SETAR, 25 Jun – Barisan Nasional (BN) Kedah sedang memperincikan manifestonya sebagai tawaran kepada rakyat negeri itu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata BN akan memastikan semua perkara dalam manifesto yang ditawarkan itu praktikal dan boleh dilaksana serta diuruskan dengan kadar segera demi kesejahteraan rakyat Kedah.

“Kita telah bincang manifesto baharu bagi memastikan slogan ‘Kalih Bagi Sama’ (tukar bagi sama) dapat dicapai. Buat masa ini, ia masih belum boleh maklumkan lagi kerana sedang diperincikan berikutan ia baharu sahaja dibentangkan dalam mesyuarat tadi.

“Tapi, manifesto ini akan merangkumi semua aspek termasuk berkaitan pendidikan, ekonomi, kesejahteraan kepada golongan belia, wanita termasuk masyarakat India, Cina dan Siam,” katanya.

Sementara itu, Mahdzir berkata susun atur kerja di setiap kawasan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) juga telah dibincangkan, yang jentera BN akan menjadi barisan hadapan di kawasan yang ditandingi parti itu dan akan membantu calon PH di kawasan yang ditandingi parti gabungan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here