IPOH, 1 Julai – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan lebih RM20 juta untuk kerja-kerja pembangunan dan naik taraf membabitkan beberapa lokasi di sekitar bandar raya Ipoh bermula tahun ini.

Menterinya Nga Kor Ming berkata antara peruntukan terbesar bagi kerja-kerja pembangunan itu ialah pembinaan kompleks parkir di Pekan Lama Ipoh yang terkenal sebagai antara lokasi pelancongan utama di bandar raya ini.

“Kompleks yang dibina akan berkonsepkan kolonial dan bakal menyediakan sekitar 376 unit tempat letak kereta bagi pengunjung sekali gus mengatasi masalah kekurangan parkir di kawasan tersebut.

“Kompleks itu juga akan dilengkapi dengan kemudahan seperti restoran serta deretan unit komersial yang secara tidak langsung akan menarik kedatangan pelancong dalam dan luar negara,” katanya.

Selain itu, katanya sebanyak RM6.25 juta diluluskan kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) serta Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk kerja-kerja menaik taraf Rumah Pangsa Seri Kepayang dan Rumah Pangsa Bercham.

“Sejumlah RM4.25 juta kita berikan kepada LPHP bagi pemasangan lif baharu serta pembaikan bumbung di Flat Seri Kepayang, manakala baki RM2 juta lagi diperuntukkan kepada MBI untuk kerja-kerja penyelenggaran lif dan kemudahan lain yang dirasakan perlu,” katanya.

Nga yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang berkata sebanyak RM1.5 juta turut diperuntukkan bagi kerja-kerja pembentungan di hadapan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan Balai Polis Sungai Senam bagi mengatasi masalah banjir kilat.

Dalam perkembangan sama, katanya sebanyak RM930,000 telah diluluskan oleh pihak kementerian bagi pemasangan lif baharu di rumah pangsa tertinggi di Ipoh iaitu Kinta Heights.

Menurutnya kerja-kerja pemasangan lif baharu di flat berusia lebih 40 tahun itu akan dimulakan pada penghujung Ogos ini dan dijangka siap pada Disember bagi memberi suasana yang lebih kondusif kepada penduduk.

Beliau menegaskan semua peruntukan yang diluluskan menerusi Program Sentuhan Kasih KPKT itu, adalah bukti kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan bagi menyelesaikan isu rakyat dalam tempoh segera.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here