SUNGAI PETANI, 3 Julai — Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan insiden seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang didakwa cuba menghalang pelawat memasuki premis kerajaan di Pulau Pinang sebagai kes terpencil.

Beliau berkata isu itu tidak perlu diperbesar dan RELA akan menggunakan mekanisme dalaman untuk penambahbaikan berhubung perkara tersebut.

“Saya tak memilih untuk membesar-besarkan (perkara ini), (perlu) berlaku adil kepada ribuan lagi anggota RELA yang bertugas mengawal premis kerajaan, (yang) tak ada masalah.

“Kita ada mekanisme dalaman yang akan ditentukan oleh kepimpinan RELA (untuk menyelesaikan isu itu),” katanya ketika mengulas insiden itu.

Saifuddin Nasution berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun ke-51 RELA Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Pusat Latihan RELA Wilayah Utara, Bukit Selambau dekat sini hari ini.

Pada 30 Jun lepas, media melaporkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menggantung tugas seorang anggota RELA selepas didakwa cuba menghalang pelawat yang dikatakan berpakaian tidak sesuai memasuki pejabat pertubuhan itu di Pulau Pinang.

Saifuddin Nasution juga berkata RELA, yang kini berusia lebih 50 tahun, telah melalui beberapa proses evolusi yang sangat membanggakan.

Beliau berkata daripada objektif asal penubuhannya yang membuka peluang kepada rakyat untuk terlibat dalam usaha menjaga aspek ketenteraman awam dan keselamatan, penugasan jabatan itu kini semakin kompleks.

“RELA harus cepat dalam melakukan adaptasi terhadap perubahan masa dan juga cabaran yang akan mereka hadapi, bermaksud gaya berfikir RELA tidak boleh lagi gaya lama.

“Ia harus respons kepada harapan dan juga cabaran semasa yang bersangkutan dengan aspek ketenteraman awam serta keselamatan negara,” katanya.

Turut hadir Ketua Pengarah merangkap Ketua Pesuruhjaya RELA Datuk Yahya Sulaiman dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here