PUTRAJAYA, 3 Julai – Kerajaan telah memberhentikan sementara proses kelulusan kuota permohonan pengambilan pekerja asing bagi semua sektor di Malaysia termasuk subsektor barangan lusuh pada 18 Mac lepas, kata Menteri Sumber Manusia V.Sivakumar.

Beliau berkata Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah memulakan proses permohonan pengambilan pekerja asing bagi subsektor barangan lusuh pada 25 Jan lepas selepas mengambil kira keperluan subsektor tersebut, sebelum kerajaan membuat keputusan memberhentikan sementara proses kelulusan itu.

Katanya langkah itu diambil bagi memastikan kelulusan yang diberikan terhadap hampir 1.1 juta kemasukan pekerja asing dapat digunakan secara optimum bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara tanpa menjejaskan peluang untuk pekerja tempatan.

“KSM bagaimanapun mengambil maklum mengenai isu pengambilan pekerja asing dalam subsektor barangan lusuh dan akan memberi perhatian sewajarnya,” katanya.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak A. Sivanesan dilaporkan berkata kerajaan Perak akan mengadakan perbincangan bersama KSM dan Kementerian Dalam Negeri bagi mempercepatkan proses pengambilan pekerja asing dalam sektor perniagaan barangan lusuh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here