MELAKA, 6 Julai – Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mengeluarkan sebanyak 93 Notis Seksyen 8 kepada tuan punya atau penduduk premis setakat tempoh Minggu Epidemiologi (ME) 26 yang berakhir pada 1 Julai lepas.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata notis itu bagi arahan menjalankan tindakan pembersihan ke atas bekas-bekas berpotensi untuk pembiakan nyamuk aedes dalam tempoh tujuh hari.

“Sehingga tempoh itu juga sebanyak 44,338  premis telah diperiksa dengan 11.1 peratus iaitu membabitkan 4,910 premis telah dikenal pasti positif tempat pembiakan.

“Bagi tempoh ME 26 iaitu dari 25 Jun hingga 1 Julai lepas, sebanyak 21 kes denggi telah didaftarkan berbanding hanya 13 kes direkodkan pada minggu yang sama pada 2022,” katanya.

Ngwe berkata bagi tempoh sehingga ME 26 tahun ini, jumlah kes denggi yang didaftarkan di Melaka adalah 498 kes iaitu meningkat sebanyak 252 kes berbanding tempoh masa sama tahun lepas iaitu 246 kes telah didaftarkan.

Katanya juga tiada kes kematian akibat demam denggi dilaporkan di Melaka setakat ini.

“Sehingga tempoh ME 26 tahun ini juga, terdapat 17 wabak dilaporkan dan terdapat satu wabak yang masih aktif iaitu membabitkan Taman Melaka Baru di daerah Melaka Tengah dan dijangka tamat pada 8 Julai,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here