KUALA LUMPUR, 6 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang memperhalusi langkah terbaik untuk melindungi pesara susulan keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang membatalkan pindaan kepada undang-undang pencen.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan kini memperincikan mekanisme itu dan akan membuat pengumuman tidak lama lagi.

“Kita akan mengusahakannya. Kita perlu hormati keputusan Mahkamah Persekutuan. Kita mempunyai mekanisme untuk melindungi pesara dan akan mengumumkannya tidak lama lagi,” kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2023 di sini hari ini.

Pada 27 Jun, Mahkamah Persekutuan memutuskan pindaan undang-undang pada 2013 yang memperkenalkan skim pencen baharu yang melaraskan bayaran pencen setiap tahun dengan kenaikan dua peratus sebagai kurang menguntungkan pesara dan tidak berperlembagaan.

Keputusan itu bermakna undang-undang mengandungi skim pelarasan pencen lama akan digunakan.

Sementara itu Anwar berkata kerajaan terbuka dengan cadangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menjadikan pilihan pengeluaran secara berkala atau bulanan apabila mencecah usia persaraan 55 tahun, yang ketika ini adalah secara sukarela kepada mandatori bagi ahli baharu pada masa depan.

“Saya tidak ada keberatan,” kata Anwar.

Bagaimanapun Perdana Menteri berkata ia perlu mengambil kira beberapa kekangan termasuk jumlah simpanan yang terlalu kecil dalam kalangan pencarum.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata pengeluaran secara berkala itu dilihat mampu memberi peluang kepada ahli untuk menguruskan wang persaraan dengan lebih baik.

Beliau dipetik sebagai berkata pengeluaran berkala atau secara bulanan itu juga memberi peluang kepada ahlinya terus menikmati dividen tahunan dengan baki simpanan yang ada.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here