IPOH, 6 Julai – Kerajaan negeri akan membina loji rawatan air (LRA) yang baharu bagi mengatasi krisis air dan menjamin kualiti sumber air mentah serta keperluan mendesak di bahagian utara Perak.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata cadangan pembinaan LRA yang itu juga, akan memastikan bekalan air bersih mencukupi untuk sektor pertanian, perkilangan dan kegunaan orang ramai.

Beliau berkata ia sebahagian daripada pelbagai projek pembangunan yang dilihat signifikan untuk dilaksanakan dan amat diharapkan oleh rakyat.

“Setiap awal tahun di daerah utara Perak akan mengalami kemarau dan kerajaan negeri lihat perlu bina satu LRA baharu, untuk menambah baik sistem bekalan air di sana serta kawasan sekitarnya.

“Kertas kerja tentang pembinaan LRA ini sedang diusahakan untuk diangkat kepada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, kerana ia memerlukan bajet yang cukup besar dan kita akan berunding dengan kerajaan Persekutuan untuk bantu segerakan pembinaan LRA baharu ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 dan Jasamu Dikenang Pejabat Tanah dan Galian Perak, dekat sini hari ini. 

— LAGI

SAARANI-LOJI 2 (AKHIR) IPOH

Saarani menambah, pembinaan LRA yang baharu itu juga bakal mengatasi masalah penyusutan sumber air di musim kemarau, serta memastikan rizab loji rawatan air sedia ada meningkat dan bekalan air yang lebih stabil dapat dibekalkan, termasuk permohonan Pulau Pinang yang mahu membeli air terawat daripada Lembaga Air Perak (LAP).

“Apabila bahagian utara Perak dapat diatasi masalahnya kerajaan negeri optimis pembinaan LRA baharu itu juga akan memanfaatkan antara dua negeri antara Perak dan Pulau Pinang untuk berkongsi air terawat. 

“Kerajaan negeri mahu keperluan bekalan air bersih di Utara Perak mencukupi terlebih dahulu dan jika ada lebihan serta kita mampu barulah kita akan kita jual kepada Pulau Pinang, jadi saya harap projek ini akan dipercepatkan,” katanya. 

Jun lalu kerajaan Pulau Pinang sekali lagi memberi surat permohonan kepada kerajaan Perak untuk membeli air terawat daripada LAP selepas cubaan kerajaan Pulau Pinang untuk membeli air mentah dari Perak menerusi Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS), tidak membuahkan hasil.

Saarani ketika itu berkata, projek SPRWTS kepada kerajaan Pulau Pinang tidak akan dilaksanakan kerana kapasiti bekalan air di Perak hanya mencukupi untuk negeri ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here