JEMPOL, 6 Julai – Peruntukan sebanyak RM100,000 disediakan bagi membaik pulih Pusat Ekonomi Digital (PEDi) FELDA Palong 11 dekat sini, yang mengalami kerosakan teruk susulan ribut pada 25 Jun lalu.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata daripada jumlah itu, kementeriannya memperuntukkan RM50,000, manakala bakinya disumbang oleh Ahli Parlimen Jempol.

Beliau berkata bagi memastikan aktiviti perniagaan dan pembelajaran secara dalam talian penduduk FELDA Palong 11 diteruskan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah memulakan pengoperasian pusat internet sementara, yang terletak berhampiran dengan PEDi berkenaan seawal lima hari selepas berlakunya bencana itu.

“Pusat ekonomi digital memainkan peranan penting sebagai pemangkin ekonomi penduduk setempat, kita tidak mahu aktiviti yang berjalan di sini tergendala.

“Alhamdulillah, lima hari daripada hari kejadian, satu lokasi sementara telah diaktifkan, ia menjadi pusat ekonomi digital sementara,” katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) Mastura Ahmad Mustafa, Timbalan Ketua Setiausaha Infrastruktur Telekomunikasi dan Ekonomi Digital KKD MA. Sivanesan.

Fahmi berkata semasa kejadian berlaku, pengurus, penolong pengurus dan rakan PEDi sedang menjalankan kelas latihan kemahiran kepada 15 individu.

Beliau berkata bencana ribut itu, menyebabkan kerosakan struktur bangunan serta mengakibatkan dua mangsa iaitu wanita dewasa (Rakan PEDi) dan kanak-kanak (anak kepada Rakan PEDi), mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke Klinik Kesihatan Palong 9, untuk menjalani pemeriksaan perubatan.

“Bangunan ini diuruskan dan dimiliki oleh FELDA, saya akan berhubung dengan Pengerusi FELDA untuk melihat apa yang boleh dilakukan, agar ia dapat dipulihkan dalam kadar segera,” katanya.

Beliau berkata tempoh membaik pulih bangunan itu, mengambil masa sekitar lima hingga enam bulan. 

Akibat kejadian itu, PEDi kendalian Telekom Malaysia (TM) itu mengalami kerosakan struktur bangunan, atap, siling, lantai serta kelengkapan perkakasan dan perisian di dalam bangunan.

Sementara itu mangsa kejadian Nursyamimi Abd Razak, 32, berkata ketika kejadian ribut itu, serpihan bumbung telah terjatuh di atas kepalanya ketika dia sedang melindungi anak perempuannya Nur Inara Rusyda Ahmad Soffian, 4.

“Ketika itu saya sedang mengajar latihan kemahiran kepada beberapa penduduk di sini, waktu itu hujan lebat, anak saya menjadi trauma akibat kejadian itu,” katanya.

Nursyamimi turut berterima kasih kepada MCMC yang mengambil tindakan cepat menyediakan pusat internet sementara bagi kemudahan 1,157 ahli PEDi di situ.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here