KUALA TERENGGANU, 8 Julai — Para pengundi perlu membuka minda dengan memilih wakil rakyat yang benar-benar berkualiti tinggi dan berupaya menggubal polisi serta dasar yang baik supaya Terengganu mampu bersaing dengan negeri maju yang lain seperti Selangor.

Pensyarah Program Pengajian Polisi, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata meskipun rakyat di negeri pantai timur dilihat cenderung memilih pemimpin yang mudah didekati dan sentiasa ada bersama mereka, namun mereka juga perlu melihat kepada kewibawaan pemimpin berkenaan.

“Negeri ini kaya dalam pelbagai aspek termasuk hasil bumi, alam sekitar, ada pantai yang cantik dan pulau yang indah di rantau ini. Ada tasik dan sungai yang indah, dilengkapi dengan kekayaan budaya…itulah komoditi yang boleh dipasarkan untuk membangunkan ekonomi negeri ini.

“Namun untuk memanfaatkan semua elemen ini dan mengangkat Terengganu ke persada lebih tinggi, kena ada pembuat polisi yang bijaksana, berwawasan, mahir dan ada strategi. Perlukan pakar ekonomi, pakar pentadbiran dan pakar perancangan,” katanya kepada Bernama.

Mohd Yusri berkata selain itu, pencapaian Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Terengganu sekarang juga masih agak ke belakang, sedangkan negeri itu mempunyai banyak khazanah untuk diterokai dan dieksploitasi dengan bijak.

“Terengganu juga mempunyai pelabuhan, ada lapangan terbang, nanti masuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), ada lebuh raya…dah hampir lengkap nak saingi negeri lain, tetapi semua itu akan terbiar kalau pembuat dasar di peringkat (Dewan Undangan Negeri) lemah dari segi keterampilan,” katanya.

Justeru menurutnya, membariskan figura berketerampilan tinggi dalam pentadbiran kerajaan negeri akan datang adalah strategi yang paling terbaik sekali gus berupaya memacu kemajuan ekonomi negeri ke tahap yang lebih gemilang.

Pengundi DUN Ajil, Ahmad Maliki Muhammad, 38, berkata di samping mahukan pemimpin tempatan yang mewakili mereka, kriteria penting seperti mempunyai latar belakang pencapaian akademik yang tinggi turut perlu menjadi keutamaan.

“Keupayaan menilai sesuatu keadaan, menyelesaikan sesuatu krisis atau polemik menuntut seseorang wakil rakyat itu mempunyai kebijaksanaan dan cara berfikir yang matang dan rasional…calon yang lebih muda juga saya kira lebih baik.

“Seseorang wakil rakyat juga mestilah yang boleh mengubah ekonomi, meningkatkan pendapatan isi rumah penduduk sekitar agar taraf hidup rakyat dapat bergerak seiring dengan kemajuan negeri,” kata kakitangan di sebuah institusi pengajian tinggi itu.

Pengundi DUN Buluh Gading, Norazura Embong, 29, pula mahukan wakil rakyat yang cakna dengan keperluan anak muda serta tidak canggung untuk bersosial dan berkomunikasi dengan segenap lapisan masyarakat.

“Wakil rakyat mestilah mampu melayan kami dengan baik, bukan sahaja bertanggungjawab, malah dia juga mestilah yang boleh menerima teguran dan mudah bekerjasama untuk kebaikan bersama,” katanya.

Terengganu yang mempunyai 32 DUN menyaksikan 22 kerusi dimenangi PAS, manakala selebihnya dikuasai Barisan Nasional (BN). 

Terengganu memiliki seramai 930,894 pengundi dan daripada jumlah itu 64,264 adalah pengundi muda berumur 18 hingga 20 tahun. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan diadakan secara serentak pada 12 Ogos ini dengan penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here