KUALA LUMPUR, 9 Julai — Poster yang tersebar di media sosial mendakwa kerajaan bersetuju supaya pengeluaran kepada pencarum-pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang telah mencapai umur 55 tahun hanya dibuat secara bulanan adalah tidak benar.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata beliau telah menyemak maklumat itu dengan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah dan meminta pihak KWSP untuk memberikan penjelasan sepenuhnya.

“Sebagai seorang menteri yang menjaga isu komunikasi saya dengan segera tidak menghantar (poster itu) kepada orang lain kecuali kepada Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah sendiri (untuk menyemak kesahihannya).

“… (kemudiannya) beliau telah menyampaikan mesej kepada saya beliau menyatakan ini masih di peringkat kajian, tidak ada hasrat pada waktu ini untuk mengenakan dasar tersebut kepada mana-mana pencarum sedia ada,” katanya ketika berucap pada Program Kita MADANI Peringkat Negeri Selangor di Banting hari ini. 

Beliau berkata sehubungan itu, masyarakat perlu merujuk kepada komuniti MADANI yang memainkan peranan penting untuk memastikan isu-isu tersebut dipanjangkan kepada pihak atasan supaya penjelasan yang tuntas dan jelas dapat disampaikan.

“Komuniti MADANI merupakan platform yang tepat untuk menyalurkan informasi terkini dan sahih mengenai dasar-dasar dan inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan kepada rakyat secara berterusan.

“Selain itu, Komuniti MADANI juga menjadi platform untuk menjelaskan dan menangkis sebarang isu, fitnah dan berita palsu yang menular,” katanya.

Sebanyak 1,878 Komuniti MADANI iaitu badan sukarela yang diwujudkan terdiri daripada pelbagai kaum ditadbir urus oleh Jabatan Penerangan Malaysia, telah ditubuhkan di seluruh negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here