KUALA TERENGGANU, 10 Julai — Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu hari ini melancarkan Op Kesan peringkat negeri bagi mengesan serta mengambil tindakan ke atas majikan yang belum dan gagal mendaftar perusahaan serta pekerja mereka yang layak.

Pengarahnya Farihah Che Husin berkata operasi secara bersepadu itu dijalankan bersama Pejabat Perkeso Dungun dan Kemaman, serta rakan strategik Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) negeri. 

“Agensi terlibat akan menguatkuasakan akta dan peraturan agensi masing-masing dengan strategi yang dirancang tahun ini lebih tertumpu kepada majikan yang menjalankan perniagaan di kawasan yang telah dikenal pasti serta masih ingkar arahan dikeluarkan semasa Op Pemutihan.

“Statistik diperoleh sepanjang Op Pemutihan pada Mei dan Jun lepas mendapati 427 majikan atau 40 peratus daripada 1,194 premis yang dilawati belum dan gagal mendaftarkan perusahaan serta pekerja mereka dengan Perkeso,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Farihah berkata Op Kesan akan melibatkan penguatkuasaan mengikut Seksyen 4 dan 5 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, Seksyen 14 dan 16 Akta Skim Insurans Pekerjaan 2017 dan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

Katanya majikan yang gagal mematuhi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 boleh dikenakan kompaun RM500 hingga RM4,000 mengikut jenis kesalahan yang dilakukan.

“Sekiranya ingkar atau tidak akur terhadap notis kompaun yang dikeluarkan, mereka boleh didakwa di mahkamah dan disabitkan denda RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Op Kesan akan diteruskan dari semasa ke semasa mengikut jadual kawasan yang telah dikenal pasti di seluruh Terengganu bagi memastikan majikan tidak terlepas daripada tindakan dan peraturan,” katanya.

Ops Kesan oleh Perkeso adalah selaras dengan kerangka Malaysia MADANI bagi memastikan pekerja dalam negara tidak kira domestik atau asing mendapat perlindungan keselamatan sosial.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here