GEORGE TOWN, 15 Julai – Majikan digesa memberi peluang kepada pekerja mereka menjalani latihan dan pembangunan bakat  agar inisiatif yang dilaksanakan kerajaan untuk melahirkan tenaga kerja lebih berkemahiran tinggi tidak sia-sia.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata dengan berbuat demikian, majikan dapat memastikan tenaga kerja mereka kekal relevan dengan kemunculan Revolusi Perindustrian 4.0.

“Terdapat banyak inisiatif Kementerian Sumber Manusia serta agensi di bawahnya untuk memberi latihan bertujuan meningkatkan kemahiran dan kemahiran semula  tenaga kerja, tetapi kalau tiada minat daripada pihak majikan untuk menghantar pekerja mereka maka usaha ini sia-sia.

“Perkembangan teknologi akan menyebabkan pekerjaan baharu muncul, oleh itu, terdapat keperluan setiap pekerja meningkatkan kemahiran bukan sahaja untuk kemajuan kerjaya atau perubahan kerjaya, tetapi juga kekal dalam pekerjaan masing-masing,” katanya.

Justeru, beliau berkata inisiatif dijalankan oleh Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dan TalentCorp menerusi Industry Driven Talent Acceleration Programme (ID-TAP), amat diperlukan demi kemampanan tenaga kerja negara.

Katanya, program seperti ini dapat membantu memajukan syarikat dan memberi manfaat kepada negara secara keseluruhan kerana latihan yang diberikan kepada tenaga kerja bertepatan dengan keperluan industri.

“Saya juga berharap pelaburan RM7.2 juta daripada kerajaan dalam inisiatif ID-TAP digunakan dengan berkesan. Saya berharap agar program ID-TAP terus memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat Malaysia khususnya bakat TVET.

“Fasa pertama ID-TAP dengan peruntukan dana ini akan memanfaat lebih 900 pekerja daripada 100 syarikat, dengan setakat ini seramai 421 pekerja telah menjalani latihan ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata mempunyai tenaga kerja berkualiti dan berkemahiran tinggi merupakan satu daripada kriteria untuk menarik lebih banyak pelaburan ke dalam negara sekali gus mengukuhkan ekonomi.

Oleh itu, beliau berkata adalah amat penting untuk melabur dalam pendidikan dan latihan supaya tenaga pekerja mempunyai kemahiran diperlukan bagi berjaya dalam pasaran global, selain mewujudkan sistem politik stabil dan sistem perundangan yang kukuh. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here