KOTA BHARU, 31 Julai – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan berkaitan COVID-19 bagi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu selewat-lewatnya dua atau tiga hari sebelum tarikh pengundian pada 12 Ogos ini.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata pihak KKM akan mengadakan perjumpaan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membincangkan SOP yang lebih spesifik semasa hari mengundi terutama membabitkan pengundi yang dijangkiti COVID-19.  

“Buat masa ini (kempen) kita kekal mengikut garis panduan sedia ada seperti yang dibincangkan sebelum ini, bagaimanapun untuk hari mengundi pihak KKM akan jumpa dgn SPR untuk SOP lebih spesifik terutama untuk mereka yang didapati positif COVID-19. 

“Perkara ini akan selesai segera sebelum hari mengundi dan kami akan umum dua, tiga hari sebelum mengundi (12 Ogos),” katanya.

Sebelum ini, KKM menetapkan SOP COVID-19 yang digunakan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai garis panduan PRN dan PRK, malah perbincangan bersama SPR dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan dilakukan jika terdapat keperluan untuk pelaksanaan SOP baharu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai isu kekosongan jawatan doktor termasuk Hospital Kuala Lumpur (HKL) susulan perpindahan ke negeri, Dr Zaliha berkata seramai 675 pegawai perubatan kontrak yang sudah tamat latihan siswazah sudah ditempatkan di beberapa fasiliti di seluruh negara setakat ini.

Beliau bagaimanapun berkata seramai 1,150 pegawai perubatan kontrak lagi akan ditempatkan di beberapa fasiliti di seluruh negara mulai esok.

“Memang akan ada sedikit pengurangan jumlah doktor sebab kami dah pindahkan mereka tetapi akan segera diisi kerana kami akan pastikan bahawa perkhidmatan kesihatan seluruh negara tidak akan terjejas dan sedang agihkan ikut keperluan bagi setiap fasiliti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here