BANGI, 6 Ogos – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menjalinkan kerjasama dengan Institut Pengajian Tinggi  Awam (IPTA) bagi melaksanakan kajian impak Inisiatif Payung Rahmah demi memastikan program-program yang telah dilaksanakan sejak Januari lepas dapat memberi kesan positif kepada rakyat.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata kajian yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat itu juga bertujuan melihat bagaimana Inisiatif Payung Rahmah itu dapat dipastikan kemampanan dan kelestariannya.

“Pastinya pandangan mereka cukup penting dan kita akan mendengar pandangan, suara daripada komuniti peniaga bagi memastikan mereka dapat terlibat lebih aktif kerana mereka juga adalah komponen masyarakat kita dan mereka juga ingin menyumbang,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan kajian impak itu dapat membantu pihak KPDN merangka strategi bagi memastikan Inisiatif Payung Rahmah dapat diadakan secara berterusan, mampan dan mencapai objektif dalam konteks yang lebih luas.

“Kita mahu inisiatif ini diteruskan kerana ia cukup baik dan kita sedang nilai dan kaji bagaimana untuk kita dapatkan kerjasama lebih banyak daripada pelbagai pihak (sertai Inisiatif Payung Rahmah),” katanya

Mengenai Program Jualan Rahmah, Armizan berkata dalam tempoh tujuh bulan pertama pelaksanaan, seramai 2.1 juta pengunjung direkodkan dengan nilai jualan RM57 juta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here