KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Dengan matlamat untuk mencapai status syarikat pertahanan ke-10 terbesar dunia menjelang 2028, Turkish Aerospace Industries sedang giat membangunkan kapasitinya dalam teknologi pertahanan dan aeroangkasa.

Aktiviti pengembangan teknologi dan pengeluaran produk-produk canggih berkenaan dilaksanakan di kemudahannya di ibu negara Turkiye, Ankara yang meliputi kawasan seluas lebih 700,000 meter persegi.

Usaha itu melibatkan pengambilan kira-kira 6,000 jurutera dan 6,000 juruteknik tambahan.

Bagi mengembangkan lagi keupayaan, Turkish Aerospace juga membuka beberapa pejabat di luar negara, termasuk di Malaysia dan Indonesia, masing-masing melibatkan 80 dan 30 jurutera tempatan.

Baru-baru ini, Bernama, bersama tiga lagi wakil media Malaysia dan empat wakil media Indonesia, dijemput melawat kilang pengeluarannya di Ankara dan menghadiri Pameran Industri Pertahanan Antarabangsa ke-16 2023 (IDEF’23) di Istanbul.

CEO optimis mampu mencapai sasaran

Walaupun kedudukan semasa Turkish Aerospace dalam kalangan 60 syarikat pertahanan terbesar dunia, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prof Temel Kotil melahirkan keyakinan untuk mencapai objektif bagi meningkatkan kedudukannya ke tangga 10 teratas.

Dalam temu bual dengan delegasi media yang melawat di IDEF’23, beliau menekankan jet pejuang KAAN, adalah bukti kehebatan syarikat ya dalam menghasilkan produk pertahanan berteknologi canggih.

Beliau berkata Turkiye adalah satu daripada beberapa negara yang memiliki teknologi yang diperlukan, infrastruktur kejuruteraan dan keupayaan pengeluaran untuk pesawat pejuang generasi kelima seperti KAAN.

“Jika anda perhatikan jet Sukhoi SU-57 buatan Rusia, Chengdu J-20 buatan China, F-22 dan F-35 Amerika dan KAAN. Itu sahaja.

“Hanya syarikat besar yang mampu membina pesawat pejuang generasi kelima. Ia (KAAN) hampir bersedia untuk dilancarkan, ini bermakna kami telah mengatur beberapa infrastruktur dari segi ujian aerodinamik, ujian mekanikal dan pembuatan, sistem hidraulik, sistem serangan, semua perkara itu kami telah sediakan,” katanya.

Ditubuhkan pada 1973, beliau menyatakan bahawa Turkish Aerospace bermula secara sederhana dengan pembuatan dan pemasangan bahagian jet pejuang F-16.

Peluang ini membolehkan syarikat ini belajar tentang pengeluaran komponen logam dan aluminium untuk menghasilkan produk aslinya sendiri.

Menyambut ulang tahun ke-50 dalam industri aeroangkasa, Turkish Aerospace telah menghasilkan platform sayap tetap, platform sayap berputar, sistem kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), sistem angkasa serta aerostruktur.

Platform sayap tetap

KAAN ialah satu daripada empat platform sayap tetap yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace. Tiga yang lain adalah pesawat latihan canggih HURKUS, pesawat misi HURKUS dan pesawat latihan lanjutan dan tempur ringan HURJET.

Kotil berkata KAAN ialah projek terbesar syarikat dan akan melakukan penerbangan sulungnya menjelang akhir tahun ini, susulan kejayaan penerbangan sulung HURJET pada April.

“Jadi kami belajar daripada HURJET. Jurutera dan juruteknik kami bekerja keras dan menghasilkan produk yang bagus. Ia (HURJET) penerbangan yang mantap dan diharapkan perkara yang sama untuk KAAN,” katanya.

Mengenai HURKUS, beliau berkata pesawat turboprop yang dibangunkan sebagai pesawat latihan ringan dan tempur merupakan antara produk paling laris syarikat itu.

Menurut Kotil, kemudahan Turkish Aerospace di Cyberjaya kini sedang mereka bentuk dan menghasilkan komputer kawalan penerbangan untuk HURJET dan HURKUS, sambil menambah bahawa syarikat itu merancang untuk merekrut lebih ramai jurutera dari Malaysia. 

Platform sayap berputar

Platform sayap berputar Turkish Aerospace termasuk helikopter tempur pelbagai peranan T-129 ATAK, helikopter tempur berat pelbagai peranan T-929, dan tiga helikopter pelbagai guna — T-625 GOKBEY, T-925 dan T-70.

Helikopter ATAK-I sedang digunakan oleh Angkatan Tentera Turkiye dan dieksport ke Filipina dan Nigeria, kata Naib Presiden Eksekutif (Helikopter) syarikat itu Dr Mehmet Demiroglu. Kedua-dua negara masing-masing menempah enam helikopter ATAK-I.

“Penghantaran (ke Filipina) akan diselesaikan pada suku keempat (tahun ini). Ia berjalan lancar, mereka sangat gembira. Kami juga dimaklumkan bahawa mereka sedang mempertimbangkan untuk membeli enam (unit) lagi.

“Kami juga bersiap sedia untuk menghantar ke Nigeria, ia akan dilakukan dalam tempoh dua bulan akan datang, membabitkan dua daripada enam unit,” katanya.

Syarikat itu menjangkakan lebih banyak pesanan untuk helikopter itu dari luar negara bagi tujuan pengawasan dan peninjau, terutamanya dari negara-negara di mana keganasan merupakan ancaman terbesar, kata Demiroglu.

“Pengguna mencari dua perkara – pertama, sama ada peralatan ini digunakan oleh angkatan tentera anda sendiri, dan untuk ATAK, jawapannya adalah ya. Soalan kedua ialah sama ada anda telah mengeksportnya ke negara lain, dan sekali lagi, jawapannya adalah ya,” katanya

Delegasi media juga diberi peluang untuk melihat secara dekat prototaip T-929, juga dikenali sebagai ATAK-II, yang merupakan helikopter tempur generasi baharu Turkish Aerospace. ATAK-II telah berjaya melakukan penerbangan pertamanya pada April lalu.

Sementara itu, helikopter T-925 pula membuat kemunculan pertama di IDEF’23 dan dijangka membuat penerbangan sulungnya tahun depan. 

Sistem UAV

Turkish Aerospace juga mendapat pengiktirafan melalui pesawat tanpa pemandunya, dengan penekanan yang ketara pada dron ANKA-I. Malaysia dan Indonesia masing-masing telah membuat tempahan untuk tiga dan 12 unit dron pengawasan dan peninjauan berkenaan.

Dron lain termasuk UAV dengan kapasiti muatan tinggi AKSUNGUR dan dron tempur ANKA-III.

“Tiada satu pun UAV yang kami hasilkan setakat ini adalah hasil usaha sama. Kesemuanya adalah buatan sendiri, reka bentuk asli, binaan tersendiri, – termasuk ANKA-III, yang sepenuhnya reka bentuk kami sendiri,” kata Demiroglu.

“Kami membuktikan kepada diri kami sendiri terlebih dahulu dan kepada dunia, bahawa kami boleh melakukan perkara-perkara ini, sama ada ia adalah UAV yang canggih, sama ada helikopter tempur, sama ada HURJET, sama ada jet pejuang generasi kelima, kami boleh melakukannya dan kami melakukannya dalam jangka masa yang singkat,” katanya.

ANKA-III berada di peringkat akhir ujian dan membilang hari untuk penerbangan sulungnya.

Sistem angkasa dan aerostruktur

Pada 2002, Turkish Aerospace memulakan projek angkasa lepas dan terus mengembangkan keupayaannya dalam pembuatan satelit komunikasi dan pemerhatian.

Sehingga kini, ia telah membangunkan enam satelit di kemudahannya di Ankara. Pelancaran terbaharunya adalah pada April dan pelancaran seterusnya dijangka pada pertengahan tahun depan.

Selain itu, Turkish Aerospace turut menghasilkan aerostruktur untuk pesawat tentera dan komersial untuk pelanggannya di luar negara.

Ini termasuk bahagian dan komponen pesawat Airbus 220/320/330/350/400M dan pesawat Boeing 737 dan 787.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here