KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Pewujudan Akademi Salihin akan membantu dalam memberi penyelesaian berhubung pendidikan dan latihan bagi pembangunan profesional dalam bidang kewangan dan perbankan Islam, pengurusan perniagaan, automasi digital, analitik dan penyelesaian perakaunan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata langkah Kumpulan Firma Salihin untuk mewujudkan akademi berkenaan sangat dialu-alukan sebagai memenuhi tanggungjawab sosial korporatnya, melatih anak muda untuk lebih berdaya saing dan memberikan peluang lebih cerah untuk mendapatkan pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Saya amat berharap agar inisiatif ini dapat dimajukan dan dikembangkan lagi bagi manfaat lebih ramai rakyat tempatan khususnya dalam kalangan Bumiputera. Saya juga telah dimaklumkan bahawa bermula tahun 2024, Akademi Salihin meletakkan sasaran untuk melatih seramai 60 orang penuntut yang akan menyertai program-program pensijilan profesional setiap tahun.

“Ini adalah perancangan permulaan yang amat baik dan saya percaya jika dilaksanakan dengan teliti ia boleh membuka ruang untuk kejayaan yang lebih besar, mungkin dengan jalinan kerjasama dengan universiti-universiti dan pusat-pusat pengajian tinggi tempatan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Salihin Corporate Centre dan pelancaran Salihin Academy di Menara Felda di sini, hari ini.

Kumpulan Firma Salihin merupakan sebuah firma perkhidmatan profesional bumiputra terbesar di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan berkaitan perakaunan dan pengauditan, percukaian dan pengkastaman, kewangan Islam, perundingan korporat dan penyelesaian digital.

Pada majlis itu, Kumpulan Firma Salihin mengumumkan kerjasama strategik dengan Diligent Corporation iaitu sebuah firma digital antarabangsa, yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang terkenal dengan alat digital robotik, analitik dan kecerdasan buatan (AI).

Selain itu, firma berkenaan turut mengumumkan pemeteraian kerjasama strategik melalui cabang entiti Akademi Salihin dengan tiga universiti tempatan iaitu Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here