PUTRAJAYA, 28 Ogos – Penerima Dana Kandungan Digital (DKD) diingatkan supaya melaksanakan projek mengikut kos, tempoh dan skop yang telah ditetapkan, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

“Dana DKD adalah duit rakyat dan amanah yang diberikan perlu dilaksanakan oleh setiap penerima dengan sebaik mungkin,” katanya.

Katanya, beliau sebagai Ahli Parlimen saban tahun meneliti Laporan Ketua Audit Negara yang turut menyentuh aspek DKD.

“Maka saya harap kita ambil ibrah atau pengajaran, bukan sahaja elak ia berulang tetapi realisasikan potensi yang ada untuk kita pastikan hasil karya dalam negara dinikmati rakyat dalam negara dan peringkat antarabangsa,” katanya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Dana tersebut bertujuan memangkin penghasilan kandungan kreatif tempatan yang berkualiti selain berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Fahmi berkata sebanyak RM102 juta diperuntukkan kepada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) tahun ini untuk melaksanakan DKD menerusi Perbadanan Filem Nasional Malaysia (Finas), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Kumpulan MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCV).

Antara kejayaan yang diraih menerusi inisiatif dana itu adalah filem Imaginur yang meraih kutipan RM6 juta, Mat Kilau dengan kutipan RM90 juta serta Tiger Stripes yang memenangi hadiah utama Cannes Critic’s Week, katanya. 

Pada majlis hari ini, sebanyak 14 syarikat ditawarkan Dana Filem Cereka dan 10 syarikat ditawarkan Dana FAME yang melibatkan jumlah keseluruhan RM18.3 juta di bawah Finas.

Bagi MyCV, sebanyak 11 syarikat ditawarkan Dana Persembahan Muzik dan empat syarikat ditawarkan Dana Promosi dan Antarabangsa melibatkan sejumlah RM3.3 juta.

Fahmi berkata semua permohonan DKD dinilai secara telus dan berintegriti oleh jawatankuasa yang terdiri daripada barisan panel profesional dan mempunyai kepakaran selain wakil kementerian.

“Saya menjemput semua penggiat industri untuk melayari portal rasmi Finas, MyCV dan MDEC serta KKD untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here