KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Kerajaan akan melaksanakan inisiatif single window untuk menyelaras dan menyusun semula fungsi, terutamanya berkaitan kerjasama merentasi agensi dan penggiat dalam ekosistem syarikat pemula sebagai panduan dalam penggubalan dasar dan membuat keputusan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malaysia menyasar untuk berada dalam kalangan 20 negara utama ekosistem syarikat pemula global menjelang tahun 2030 serta membangunkan Kuala Lumpur sebagai hab syarikat pemula dan digital serantau, katanya dalam satu kenyataan hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang pertama bagi tahun 2023. 

“Sehubungan itu, Majlis telah bersetuju dengan pelaksanaan inisiatif bagi memperkukuhkan ekosistem syarikat pemula serta meningkatkan keterlibatan dan prestasi syarikat pemula tempatan,” katanya.

Anwar Ibrahim berkata inisiatif itu menetapkan sasaran mewujudkan 5,000 syarikat pemula menjelang tahun 2025.

Sehingga kini, terdapat sekurang-kurangnya 14 agensi yang terlibat dalam ekosistem syarikat pemula merangkumi aspek pembiayaan, pembangunan produk, pemasaran dan kepakaran, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here