PUTRAJAYA, 30 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan amanat  Hari Kebangsaan 2023 yang antara lain menekankan pentingnya perpaduan dalam mempertahankan kemerdekaan negara bagi menggilap Malaysia sebagai sebuah negara hebat. 

Beliau berkata hasrat itu boleh dicapai kerana Malaysia mempunyai limpahan golongan pekerja yang boleh diangkat sebagai pakar teknologi dan profesional yang mampu bersaing dengan mana-mana negara di dunia.

“Antara cita dan harapan, negara harus bersatu dan merangka Ekonomi MADANI yang mampan serta jaminan keadilan untuk semua rakyat pelbagai kaum dan agama. 

“Mari kita manfaat waktu yang ada di sisa-sisa hidup kita ini untuk berbuat bakti kepada diri, keluarga dan masyarakat kita dan yakinlah negara ini bukan biasa. Negara ini punya hasil-mahsul yang hebat melimpah ruah,” kata Anwar dalam amanat pertama Hari Kebangsaan beliau di hadapan lebih 7,000 hadirin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini. 

Kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, menteri-menteri Kabinet, pegawai kanan kerajaan, wakil-wakil penduduk dan pelajar sekolah menghadiri majlis amanat yang diadakan sempena Hari Kebangsaan 2023 yang akan disambut esok.

Majlis itu juga disiarkan secara langsung di televisyen tempatan dan media sosial.

Anwar berkata antara syarat untuk mencapai aspirasi itu adalah dengan memastikan “merdeka rakyat” iaitu sebuah masyarakat yang merdeka minda dan jiwanya serta bebas daripada pandangan pemikiran penjajah dan pemikiran jumud.

Perdana Menteri berkata untuk memastikan Malaysia maju, semua peringkat rakyat di negara ini perlu berjiwa merdeka dengan menolak menjadi perkakas dan dieksploitasi golongan elit untuk mengaut  keuntungan peribadi yang merugikan negara.

Selain itu, penyertaan dan perpaduan setiap kaum adalah penting dalam memastikan Malaysia muncul sebagai sebuah negara yang hebat pada abad ini selepas prestasi yang mendatar sejak 20 tahun lepas.

Beliau berkata Kerajaan Perpaduan memberi jaminan akan mempertahankan hak setiap rakyat di negara ini tanpa ada yang dipinggirkan namun perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan seperti hak dan keistimewaan Bumiputera serta Islam sebagai agama Persekutuan akan terus dipertahankan. 

“Kita kena pertahan semangat bahawa negara ini milik semua rakyat. Kesatuan dan perpaduan ini (perlu) dipupuk untuk dijamin masa depannya mulai sekarang,” kata beliau.

Anwar berkata bagi menggilap Malaysia menjadi negara hebat, pendidikan menjadi aset penting yang perlu ditekankan untuk melahirkan generasi yang pakar dalam pelbagai bidang. 

Sehubungan itu, Perdana Menteri memberi jaminan semua sekolah tanpa ada yang terkecuali, akan mempunyai prasarana asas munasabah sebelum akhir tahun ini. 

“Malaysia harus terkenal dengan jaminan keadilan bagi semua rakyat tanpa ada golongan yang tersisih dan terpinggir,” kata beliau. 

Mengingatkan seluruh rakyat Malaysia peri pentingnya kemerdekaan yang dikecapi negara sejak enam dekad lepas, Perdana Menteri berkata cabaran dihadapi masa kini adalah untuk rakyat bersama-sama mengekalkan keamanan dan kemerdekaan. 

Mengenang jasa pejuang kemerdekaan dan pihak berkuasa keselamatan negara khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), beliau berkata keamanan yang dinikmati pada masa ini mustahil dikecapi tanpa golongan berkenaan.  

“Sebagaimana kita hadapi pengganas di Lahad Datu, (Sabah), sebelumnya Konfrontasi Indonesia dan ancaman komunis, kita tangani walaupun bibit-bibit kecil (ancaman keselamatan) masih berlaku, perbatasan masih ada pertindahan tuntutan, kita akan pertahankan setiap inci bumi Malaysia ini,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here