BEIJING, 5 Sept — Presiden Comores Azali Assoumani menyifatkan hubungan perdagangan antara Afrika dengan China sebagai sangat erat dan kawasan perdagangan bebas Afrika bakal meningkatkan lagi hubungan perdagangan itu.

Beliau merangkap Pengerusi bergilir Kesatuan Afrika (AU) turut menyuarakan keyakin terhadap kerjasama dengan syarikat China dan menganggap kerjasama sebelum ini sebagai contoh terbaik.

Azali berkata demikian ketika diwawancara Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini.

Terdapat dua perkara penting berlaku di benua Afrika mutakhir ini iaitu Sidang Kemuncak BRICS ke-15 di Afrika Selatan yang menyaksikan BRICS menerima beberapa negara anggota baharu, sekali gus memberikan isyarat positif kepada dunia.

Sementara itu,  ketika berlangsungnya sidang dialog pemimpin China-Afrika sejurus selepas Sidang Kemuncak BRICS, Presiden China Xi Jinping mengemukakan tiga langkah untuk menyediakan pelan China terhadap integrasi pengindustrian Afrika dan pembangunan pemodenan di benua itu.

Ketika mengulas mengenai BRICS, Azali berpendapat bahawa peluasan BRICS akan memberi galakan kepada negara-negara Selatan Global dan membantu untuk memacu pembangunan Afrika.

“Tahun ini merupakan ulang tahun ke-10 konsep kerjasama China-Afrika anjuran Presiden Xi Jinping. Saya menghargai konsep itu.

“Xi merupakan pemimpin yang hebat. Beliau mempunyai pandangan multilateral dan turut mahu memperluas rakan kerjasama. Inilah konsep yang membawa situasi sama menang,” kata beliau.

Azali berkata China tetap menjadi rakan kerjasama bagi Afrika dan pihaknya komited memelihara hubungan rakan kerjasama dengan China.

“Segelintir negara menganggap China mempunyai banyak masalah kerana mereka tidak memahami hubungan kerjasama itu. 

“Negara-negara Afrika patut berkhidmat untuk kepentingan rakyat di benua ini dan bukan pihak yang lain.

“Segelintir orang pula menganggap bahawa China bukan negara Afrika dan tiada hubungan dengan Afrika. Ini kerana mereka cemburu kerjasama antara China dengan Afrika dan sebenarnya mereka yang mahu mengadakan kerjasama seumpama itu dengan Afrika,” katanya. 

Beliau berkata sekarang masih belum terlambat bagi pihak-pihak itu untuk mengadakan kerjasama dengan negara-negara Afrika, tetapi prasyaratnya adalah kerjasama itu perlu mirip dengan kerjasama cara China, iaitu menghormati rakyat dan negara Afrika, menandatangani perjanjian kerjasama sama menang dan mara ke depan bersama-sama.

Menyentuh tentang tiga inisiatif yang dikemukakan oleh Presiden Xi, iaitu Inisiatif Pembangunan Global (GDI), Inisiatif Keselamatan Global (GSI) dan Inisiatif Peradaban Global (GCI), Azali menyifatkan ketiga-tiga inisiatif itu sebagai sangat bermanfaat.

“Sesebuah negara memerlukan tenaga dari luar ketika mewujudkan kebebasan sumber tenaga. Itulah mengapa hubungan antara kami dengan China begitu baik,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here