BANGI, 12 Sept – Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang mengetengahkan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) telah meletakkan Malaysia pada kedudukan yang kukuh untuk menarik lebih banyak pelaburan dari China terutamanya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE), kata Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM).

Presidennya, Tan Sri Low Kian Chuan berkata NIMP 2030 telah menggariskan penjanaan hala tuju transformasi perindustrian dengan menumpukan kepada industri nilai tambah yang tinggi dan dipacu teknologi yang mematuhi ESG dan pengurangan pelepasan gas.

“Memandangkan kekuatan China dalam industri pertumbuhan baharu, terdapat peluang yang besar untuk memperdalam aktiviti perdagangan dan pelaburan dua hala antara kedua-dua negara secara mampan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar keenam Kerjasama Taman Berkembar antara Malaysia dan China, di sini hari ini.

Low berkata terdapat beberapa industri yang berpotensi untuk pelaburan dua hala termasuk aktiviti kitar semula pembersihan asid plumbum dan bateri lithium-ion, pembuatan sel bahan api hidrogen, tangki simpanan hidrogen dan ekosistem rantaian bekalan hijau.

“PKS (perusahaan kecil dan sederhana) perlu mematuhi ESG kerana mereka menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global dan vendor untuk pelabur dari China,” katanya.

Low berkata ACCCIM akan bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk mempromosikan taman berkembar – Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) dan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia (CMQIP).

Beliau berkata MCKIP dan CMQIP adalah projek utama “Taman Berkembar, Dua Negara” yang mewakili model baharu kerjasama antarabangsa mengenai taman perindustrian.

Katanya pelabur China tertarik untuk melabur dalam MCKIP memandangkan Malaysia adalah hab bagi Asean dan juga dasar jelas kerajaan mengenai RE.

“Kami sedang mencari pelaburan dari China terutamanya dalam RE dan tenaga hijau. Pada masa ini, MCKIP lebih bertumpu kepada industri berat dan oleh itu ia harus menggalakkan industri berteknologi tinggi, pembuatan ringan dan industri pemprosesan makanan,” katanya.

MCKIP, yang memasuki tahun ke-11 sejak dilancarkan pada 5 Feb, 2013, telah menarik lebih 50 syarikat antarabangsa dengan jumlah pelaburan hampir RM30 bilion pada akhir 2022 dan mewujudkan lebih 14,000 pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here